Rabu, 30 November 2016 | 12:07am

Ziana Zain tidak lagi terkucil, pancit

KECOH minggu lalu apabila bintang ternama, Ziana Zain, dilaporkan hampir menarik diri daripada menjayakan Konsert High Note 2016 atas alasan penganjur gagal mengatur perancangan hingga latihan pertama dibuat dua jam sebelum persembahan bermula.

Konsert itu yang menggandingkan Ziana dengan dua lagi penyanyi bersuara lantang, Azlan Typewriter dan Jaclyn Victor, disifatkan Ziana insiden paling buruk pernah dialaminya selama bergelar anak seni sejak 26 tahun lalu.

Dianjurkan tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, mulai Jumaat lalu, Ziana, Azlan dan Jaclyn bagaimanapun mengumpul kekuatan meneruskan konsert itu atas dasar tanggungjawab.

Apatah lagi, peminat termasuk penyokong tegar Ziana yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei, sudah membeli tiket dan mengatur perjalanan termasuk tempahan hotel dan tiket penerbangan bagi menyaksikan idola mereka beraksi di pentas.

Namun, di sebalik kekecohan dan latihan saat akhir, Ziana yang menjadi fokus utama konsert, beroleh hikmah apabila tampil memukau dengan vokal yang diakui ramai cukup 'power'.

ZIANA kini mampu menampilkan kembali vokalnya yang padu dan mantap. Foto Hasriyasyah Sabudin

ZIANA Zain, Jaclyn VIctor dan Azlan Typewriter bergabung suara dalam Konsert 'High Note 2016' pada 25 hingga 27 November lalu di Istana Budaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Malah, ada peminat menganggap persembahan penyanyi Madah Berhelah itu hampir menyamai prestasinya pada era 1990-an ketika namanya di puncak populariti.

Wakil BH yang turut menyaksikan konsert itu kagum dengan semangat ditunjukkan penghibur ini.

Mungkin disebabkan sudah lama tidak muncul dalam konsert berskala besar, Ziana tampak melepas geram di pentas konsert itu.

Pada usia 48 tahun, Ziana masih bertenaga dan nampaknya, sindiran suara 'terkucil' dan 'pancit' yang pernah dilemparkan terhadapnya tidak lagi relevan.

Menemui Ziana, artis serba boleh ini berkongsi rahsia di sebalik keupayaannya menjaga vokal.

"Untuk saya menyanyi dengan keupayaan vokal seperti dulu adalah sesuatu yang mustahil. Jadi, saya cuba menyanyi ikut kemampuan diri.

ZIANA Zain ketika menampilkan persembahan mantap dalam Konsert High Note 2016 di Istana Budaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Cuma untuk konsert kali ini, tak tahulah dari mana tenaga itu datang. Saya hanya mampu memanjat kesyukuran jika ada yang berpuas hati dengan mutu vokal saya kali ini.

"Kalau dulu anak baharu dua, boleh lagi nak tarik vokal tinggi. Tapi sekarang sudah ada empat anak, lainlah jadinya," katanya.

Berkorban tak pulang rumah

Bagi memberi tumpuan penuh terhadap Konsert High Note 2016, Ziana rupa-rupanya menginap di hotel biarpun rumahnya di Shah Alam.

"Sebelum menyanyi atau terbabit dengan konsert mahupun persembahan, saya sentiasa percaya rehat dan tidur yang cukup sangat perlu.

"Selama konsert kali ini berlangsung, saya tak balik rumah dan menginap di hotel sekitar Kuala Lumpur. Jadi memudahkan pergerakan dan perjalanan ke Istana Budaya.

PADA usia 48 tahun, Ziana Zain mengakui memerlukan rehat dan latihan yang cukup untuk menampilkan persembahan terbaik. Foto Zunnur Al Shafiq

"Jadi, selepas bangun dan bersarapan, saya terus bergerak ke Istana Budaya. Selesai kerja konsert ini, saya balik tidur di hotel. Begitulah putaran saya selama tiga hari konsert itu berlangsung.

"Cuba kalau saya balik rumah, memang tak boleh fokus jadinya. Nak melayan anak lagi. Jadi memang saya terpaksa berkorban berjauhan dengan anak dan suami," katanya.

Bagi pelakon yang mencipta nama menerusi filem Sembilu bersama Awie dan Erra Fazira, dia sentiasa bertanya dalam diri apakah masih mampu membuat persembahan.

Dalam hatinya, Ziana sedar dan sentiasa gusar bahawa peminat selalu meletakkan harapan tinggi. Di sebalik menuntut pemahaman vokalnya tidak sehebat dulu, Ziana bagaimanapun sentiasa mencabar keupayaan diri.

"Bagi saya, vokal perlu diasah dengan sentiasa menyanyi. Itu latihan harian saya. Kadang-kadang apabila sudah sampai satu tahap usia, vokal kita jadi besar. Apabila menyanyikan lagu bahagian tinggi, maka lagi bulat suara itu.

"Saya sendiri pernah terkejut dengan perubahan itu. Namun selepas ditanya yang arif dan pakar dalam soal vokal, ia perkara biasa," katanya.

ZIANA tidak tergamak menghampakan peminat dari yang datang dari jauh dan dekat untuk menonton persembahannya. Foto Hasriyasyah Sabudin

Ziana berkata, sampai sekarang dia masih bertanya dengan pakar vokal mengenai suaranya.

"Saya sudah mula faham pada satu tahap, suara mula menebal. Jadi saya sentiasa bersyukur dengan peningkatan usia serta perubahan yang terjadi ini. Pada usia sekarang, saya kena pastikan ada waktu rehat dan latihan mencukupi," katanya.

Pertaruhkan kredibiliti

Berkongsi kisah di belakang tabir Konsert High Note 2016, Ziana percaya perkara itu ada hikmah tersendiri.

"Saya menangis mengenangkan momen itu apabila semuanya jadi kelam kabut.

"Namun, selepas diyakinkan pengurusan Istana Budaya pengumuman sudah dibuat, mahu atau tidak the show must go on.

"Saya terpaksa memperjudikan diri dalam soal ini. Masa malam pertama, ada sebuah lagu yang dinyanyikan secara spontan untuk mengisi masa. Begitulah pada malam seterusnya ada beberapa lagu dinyanyikan tanpa dirancang," katanya.

ZIANA Zain bersama Jaclyn Victor bercakap dengan media selepas Konsert 'High Note 2016 di Istana Budaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Ziana mengaku tidak tergamak menghampakan peminat yang bersusah-payah datang ke konsert itu.

"Bukan sahaja dari Malaysia, peminat datang dari Singapura dan Brunei. Ada yang sampai bulat mata menonton persembahan saya. Jadi tak sampai hati, untuk saya berputus asa dan menarik diri.

"Disebabkan itu juga saya turun ke bawah pentas untuk melakukan segmen spontan dengan memenuhi beberapa lagu yang diminta peminat," katanya.

Mengenai perkembangan terbaharunya, Ziana sibuk memenuhi persembahan makan malam menjelang akhir tahun ini.

"Ada juga beberapa projek tahun hadapan yang sedang dirancang. Ada rezeki insyaAllah ia akan menjadi kenyataan. Cuma tak mahu saya kongsi lagi. Takut cakap.. tak jadi pula. Kadang kadang yang tak cakap sebaliknya pula," katanya.

Konsert High Note 2016 dianjurkan DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagro.

PENYANYI terkenal Ziana Zain dalam konsert 'High Note 2016 yang berlangsung pada 25 hingga 27hb November di Istana Budaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

INFO - Ziana Zain

* Mula dikenali dengan lagu Madah Berhelah pada tahun 1991

* Sudah lebih 17 tahun bergelar isteri kepada Armin Zaharin.

* Layak digelar artis serba boleh kerana selain menyanyi Ziana juga berlakon, menjadi pengacara dan model iklan.

* Pernah merakamkan enam album iaitu Madah Berhelah, Ziana Zain, Setiaku Di Sini, Puncak Kasih, Ziana Zain dan Aku Cintakanmu.

* Antara lagu popular nyanyiannya adalah Anggapanmu, Putus Terpaksa, Kekal, Kalau Mencari Teman, Puncak Kasih, Syurga Di Hati Kita dan Dingin.

* Pernah tujuh kali menjadi finalis Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

* Ziana diangkat peminat sebagai Bintang Paling Popular pada ABPBH 1995.

* Genap 48 tahun pada 2 Mei lalu.

ZIANA Zain mempunyai beberapa projek seni yang mahu dilaksanakan sepanjang tahun depan. Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X