Rabu, 30 November 2016 | 1:08pm
PENERIMA Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa PLM (dari kiri), Datuk A Aziz Deraman, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, Datuk Adilah Shek Omar, Datuk Aznil Nawawi dan Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto Saifullizan Tamadi

Aznil Nawawi terima Anugerah Khas Ikon Bahasa

PENGACARA televisyen popular, Datuk Aznil Nawawi. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Pengacara televisyen popular, Datuk Aznil Nawawi menerima Anugerah Khas Ikon Bahasa pada Majlis Penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa PLM 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Beliau menerima penganugerahan yang pertama kali diperkenalkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) itu, di atas sumbangannya sebagai ikon terkenal yang banyak membantu dalam mempromosikan bahasa Melayu kepada masyarakat di negara ini.

Pada majlis itu juga, bekas Ketua Pengarah DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan Datuk A Aziz Deraman; ahli akademik dan penyelidik, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron serta Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) di Jabatan Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar menerima Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa PLM.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar.

Turut hadir ialah Penasihat PLM, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim; Presidennya, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Aminah Awang Basar; Penasihat PLM, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim; Presiden PLM, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin; dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Aminah Awang Basar.

Penganugerahan itu diberikan kepada individu yang tekun dalam tekad memperjuangkan maruah dan martabat bahasa Melayu selama puluhan tahun di negara ini dengan Awang, A Aziz dan Isahak antara tokoh yang lantang menyuarakan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Penganugerahan oleh PLM dengan kerjasama DBP dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia ini (UKM) itu, dianjurkan buat kali kedua selepas pertama kali diberikan pada lapan tokoh bahasa pada tahun 2004.

Terdahulu daripada itu, Nor Hashimah berkata, tokoh yang dipilih menunjukkan pengorbanan dan kesungguhan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu di negara ini.

Berita Harian X