Rabu, 30 November 2016 | 1:15pm

Sasaran lahir 5,000 penternak madu lebah


FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) di Sabah bakal menyumbang secara langsung kepada sasaran jangka panjang Program Transformasi Bioekonomi (BTP) iaitu RM48 bilion pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Tuan Syed Agil Syed Hashim, berkata program itu juga bakal menyediakan 170,000 peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan berjumlah RM50 bilion.

"Pelaksanaan BTP dan BCDP di Malaysia dilihat dapat meningkatkan pembangunan sosioekonomi negara.

"Sehingga 2015, bioekonomi menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sejumlah RM130.8 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BIMP EAGA Bioeconomy Development Holdings Sdn Bhd dan Flora Bee Hives Enterprise Sdn Bhd bagi pembangunan ladang lebah madu di Sabah serta pelancaran BCDP di Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin dan Penasihat Eksekutif BIMP EAGA Ventures Sdn Bhd, Yan Hashim.

Sementara itu, Yahya berkata, pihaknya menyasarkan seramai 5,000 penternak madu lebah terbabit secara aktif dalam program BCDP, sekali gus merealisasikan sasaran penghasilan madu lebah asli sebanyak 5,000 tan menjelang tahun 2020.

"Kerajaan negeri maklum bahawa bidang bioteknologi adalah antara medium penting yang berupaya menjana pembangunan ekonomi dan kekayaan baru negeri Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

"Setakat ini, kita sudah kenal pasti beberapa lokasi untuk membangunkan Projek Penternakan Madu Lebah antaranya Sipitang, Kinarut dan Kota Belud, dan ia dijangka bermula Februari tahun depan," katanya.

Berita Harian X