Rabu, 30 November 2016 | 2:47pm

Gugurkan ahli, pemimpin UMNO musang berbulu ayam


PERWAKILAN Puteri UMNO Padang Serai, Faizah Pear Muhamad berucap pada persidangan sayap Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 20160 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Kelantangan Perwakilan Puteri UMNO Kedah mengkritik dan membidas pimpinan dan ahli yang mengkhianati perjuangan parti menghangatkan sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Puteri.

Ucapan Faizah Pear Muhamad yang berapi-api disorak perwakilan sepanjang sesi perbahasannya hingga mereka meminta Timbalan Pengerusi Tetap Puteri, Nurul Huda Nordin Ahmad memberi lima minit tambahan kepadanya apabila tempoh 10 minit yang diberikan berakhir.

Faizah yang juga pembahas pertama Puteri dengan garang membidas bekas pemimpin dan ahli UMNO yang disifatkannya sebagai musang berbulu ayam dan sanggup mengetepikan perjuangan dan ikrar taat setia kepada parti.

"Kita tak dapat nafi wujud golongan ahli parti yang menjadi duri dalam daging dan tak kurangnya jadi talam dua muka. Mereka mengaku ahli UMNO tetapi percakapan lebih daripada pembangkang.

"Sebagai ketua bahagian dan cawangan, kita perlu jadi penyampai maklumat yang sahih kepada rakyat, tapi kita pula dok jadi nasi tambah...lagi teruk, siap tambah kuah bagi lagi pedas. Di mana kesetiaan kita kepada parti," katanya dalam loghat Kedah sambil disahut seluruh perwakilan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Faizah yang juga Ketua Puteri Bahagian Padang Serai turut menyelar pemimpin UMNO yang tidak menjalankan tugas dengan ikhlas walaupun memiliki jawatan dalam parti.

"Masa pemilihan, kononnya kita sajalah yang sayangkan parti. La (sekarang) ini baru dok nampak pasal apa nak jawatan sangat. Bukan dok kira pasal parti, tapi dok kira projek itu, projek ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Puteri UMNO Kedah mencadangkan Lembaga Disiplin parti diwujudkan di setiap bahagian bagi menyelesaikan ahli parti yang bersifat musang berbulu ayam supaya mereka tidak menjadi liabiliti parti pada masa depan.

"Perlu juga ada Operasi Perdana Pemutihan parti bagi menggugurkan ahli yang sudah berpindah parti secara terang atau diam-diam dengan laporan lengkap disediakan cawangan dan disahkan di peringkat bahagian," katanya.Tamat

Berita Harian X