Rabu, 30 November 2016 | 4:40pm

Majlis Peguam Syarie mudahkan amalan guaman syarie

KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Peguam Syarie yang dicadangkan Wanita UMNO hari ini mampu bertindak sebagai sebuah badan bebas untuk menyelia dan mengawal kelayakan dan kemasukan peguam syarie, sekali gus membolehkan Akta Profesion Guaman Syarie (SLPA) digubal.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata peguam syarie ketika ini berdepan masalah apabila terpaksa memohon di 14 negeri untuk menjalankan amalan sebagai seorang peguam syarie.


PRESIDEN Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang

Katanya, ini kerana setiap negeri mempunyai perbezaan antaranya kaedah, kelayakan, peperiksaan, temu bual serta proses kemasukan.

"Masalah ini sikit sebanyak mematahkan semangat graduan untuk memohon jawatan peguam syarie," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan dibangkitkan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, Majlis Peguam Syarie yang berada di bawah naungan dan tadbir urus Majlis Raja-Raja bertujuan memudahkan urusan amalan guaman syarie di negeri.

Di samping itu, Wanita UMNO juga mahu institusi mahkamah syariah dimartabatkan setaraf dengan mahkamah sivil, selain mendesak cadangan mewujudkan lima hirarki Mahkamah Syariah yang diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam dipercepatkan.

Musa berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan Shahrizat untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil.

Katanya, langkah itu boleh diperkukuhkan dengan memberi lebih kuasa ke atas bidang kuasa hukuman jenayah mahkamah syariah, bidang kuasa untuk mengeluarkan surat kuasa mentadbir (LA) dan membahagikan harta-pusaka umat Islam, bidang kuasa untuk mendengar dan membicarakan kes-kes muamalat Islam atau perbankan Islam dan lain-lain.

"Undang-undang Islam adalah yang terbaik, namun pelaksanaannya di negara ini masih lemah kerana kekangan pihak berkuasa, kakitangan, kuasa undang-undang, undang-undang yang pelbagai dan tidak seragam.

"Negara kini mempunyai bilangan peguam syarie yang cukup untuk menangani kes mengikut bidang kuasa Mahkamah Syariah sedia ada. Setakat ini bilangan peguam syarie di seluruh negara antara 2,500 hingga 3,000 orang.

"Bilangan ini akan bertambah dengan sendirinya, jika bidang kuasa mahkamah syariah dipertingkatkan," katanya.

dibaca
Berita Harian X