Khamis, 1 Disember 2016 | 12:07am

Sarah sibuk menyanyi, Shuib jadi 'Mr Mama'

KUALA LUMPUR: Ramai orang tahu, penyanyi Sarah Raissuddin yang giat berlatih untuk konsert terakhir edisi ketiga program realiti popular, Gegar Vaganza (GV3), Ahad ini, berkahwin dengan pelawak, Shuib Sepah.

Mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun lalu dan dikurniakan tiga anak comel, Shuib dan Sarah dilihat sebagai pasangan romantis. Di mana ada Sarah, di situlah Shuib setia menemani.

Buktinya, setiap kali Sarah tampil pada konsert mingguan GV3, Shuib sentiasa dilihat berada di kerusi penonton memberi sokongan terhadap isterinya.

Malah, pada minggu ketiga, Shuib membuat kejutan dengan tampil ke pentas mengiringi persembahan Sarah mendendangkan lagu Joget Sayang Di Sayang.

Gimik yang dianggap 'manis' itu menambah tarikan persembahan Sarah yang selamba 'mengusik' suaminya di pentas, sehingga mereka mendapat tepukan gemuruh penonton.


SHUIB dan Siti Sarah sering dilihat sebagai pasangan yang romantis sejak berkahwin lima tahun lalu.

SHUIB turut membuat penampilan ketika persembahan Siti Sarah pada Gegar Vaganza minggu ke 3. - Foto Saifullizan Tamadi

Biarpun Shuib yang juga penyampai radio Suria FM perlu berada di konti seawal jam 6 pagi keesokannya, dia tidak pernah menjadikan rutin mingguan itu sebagai halangan asalkan dapat berada di sisi Sarah.

Mengakui populariti Sarah ketika ini memuncak berbanding dirinya, Shuib bagaimanapun tidak ralat tumpuan terhadap isterinya lebih banyak diberi peminat.

Berkongsi rahsia keharmonian rumah tangganya dengan BH Plus, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 32, mengaku tugas menjaga anak-anak dan keperluan rumah dipikulnya sendirian.

"Sarah berperanan sebagai tunjang utama ketika saya bertanding dalam program komedi Maharaja Lawak Mega (MLM). Sekarang, tiba pula giliran saya untuk membantu meringankan tanggungjawab Sarah. Jadi, biarlah Sarah memberi fokus yang penuh terhadap GV3.


PELAWAK, Shuib Sepahtu dan isteri, Siti Sarah (kiri) pada Tayangan Perdana Astro sempena Hari Raya di Hotel Majestic. - Foto Munira Abdul Ghani

"Sebagai pasangan suami isteri, semestinya saya senang dengan hakikat Sarah lebih popular berbanding saya. Hampir empat pertandingan saya sertai di mana Sarah berperanan sebagai penyokong tegar.

"Ini termasuk sokongan dalam aspek fizikal dan mental... Sarah menjadi sumber kekuatan saya." katanya.

Pada pentas akhir GV3, Ahad ini, Sarah bakal bersaing dengan Zarul, Azharina, Intan Sarafina, Ameng dan Gmie.

Tepis dakwaan ilmu hitam

Ditanya bagaimana Sarah melalui cabaran GV3 dengan persaingan sengit daripada peserta lain yang tidak kurang hebatnya, Shuib berkata:

"Tidak sangka program nyanyian mampu meninggalkan impak begini hingga membuatkan isteri tidak berselera makan."


SHUIB dan Siti Sarah sering dilihat sebagai pasangan yang romantis sejak berkahwin lima tahun lalu.

Shuib mengaku Sarah terlalu fokus terhadap persembahannya di pentas GV3 hingga enggan menjamah makanan.

"Jadi, selain memastikan tumpuannya tidak terganggu, saya juga menjaga pola pemakanan isteri supaya tidak mudah jatuh sakit," katanya.

Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alarni yang memasuki usia empat tahun, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin yang baru berusia setahun.

Mengulas mengenai pelbagai isu gangguan mistik yang dikatakan berlaku sepanjang program GV3, Shuib menepis dakwaan isterinya pengsan gara-gara anasir ilmu hitam.

Biarpun tidak menolak kewujudan makhluk lain di muka bumi, Shuib menegaskan kepentingan berpegang kepada Allah.


BAGI Shuib, Siti Sarah terlalu fokus kepada Gegar Vaganza hingga enggan menjamah makanan. Foto Saifullizan Tamadi

"Jika benar wujudnya anasir begitu, saya nasihatkan Sarah menyerahkan kepada kuasa Allah. Apa yang penting, saya sarankan Sarah berfikiran positif dan mencuba sebaik mungkin ketika membuat persembahan pentas.

"Sebaik-baiknya, usah mempersoalkan setiap insiden yang berlaku. Ini kerana pasti ada hikmah di sebalik dugaan itu. InsyaAllah, tiada perkara tidak baik yang akan berlaku dan banyak berdoa kepada Tuhan untuk diberikan perlindunganNya," katanya.

Tak mahu beban orang lain

Mengenai perkembangan kerjayanya, Shuib yang juga anggota Sepahtu memberitahu, dia semakin selesa memikul tanggungjawab sebagai penyampai radio.

Shuib tidak gusar biarpun dia perlu memberi komitmen di konti hingga terpaksa menolak tawaran yang bertentangan dengan kerja tetapnya itu.


SELAIN pelawak, Shuib juga seorang penyampai radio. Foto Munira Abdul Ghani

Pelawak ini menambah, dia menggunakan pendekatan menyenaraikan beberapa syarat sebelum menerima sebarang tawaran bagi memastikan kerjayanya sebagai penyampai radio tidak terganggu.

"Lebih mudah beritahu dulu syarat saya kerana tidak mahu menyusahkan seluruh warga produksi.

"Selepas mencapai kata sepakat, baharu saya akan menerima tawaran kerja," katanya.

Biodata:
Nama sebenar : Shahmira Bin Muhamad
Nama komersial : Shuib Sepah
Umur : 32 tahun
Asal : Johor
Isteri : Siti Sarah Raissuddin
Berkahwin : 26 Februari 2011
Anak : Uwais Alarni, 4; Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin berusia setahun.
Pencapaian : Juara Raja Lawak musim ke-3 & Juara Maharaja Lawak 2011.
Drama/telefilem : Bujang Sepah Silalalitampom, Burger Layan Diri dan Ibu Mee Segera.

PASANGAN Shuib dan Siti Sarah dikurniakan tiga anak yang comel. Foto Munira Abdul Ghani
SHUIB sentiasa berada di kerusi penonton Gegar Vaganza setiap minggu tanda sokongan kepada isterinya, Siti Sarah.
PERSEMBAHAN Siti Sarah pada Gegar Vaganza minggu ke 3. - Foto Saifullizan Tamadi
PERSEMBAHAN Siti Sarah pada Gegar Vaganza minggu ke 3. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X