Ahad, 7 Disember 2014 | 4:33pm
KETUA Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Ir Ahmad Hadri Haris. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Greentech cadangkan perumahan PR1MA dipasang sistem panel solar

KUALA LUMPUR: Malaysian Green Technology (Greentech) Corporation mencadangkan pemasangan sistem panel solar di skim perumahan mampu milik Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Hadri Haris berkata, Greentech akan mengemukakan cadangan itu kepada PR1MA kerana ia akan membantu pembeli rumah menjimatkan wang berikutan bil elektrik yang lebih rendah.

"Bil itu akan dapat dikurangkan kepada RM10 atau lebih bergantung kepada penggunaan," katanya.

Mengambil Jepun sebagai contoh, Ahmad Hadri berkata, pemaju perumahan di negara berkenaan memasang panel solar apabila mereka membina rumah.

"Di Malaysia, perkara ini umumnya tidak berlaku dan terhad kepada projek perumahan mewah," katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Tahunan Korporat Muda Malaysia Ke-6 di sini.

Pemilik rumah juga boleh menjual lebihan tenaga elektrik yang dijana panel solar di bumbung rumah mereka itu kepada Tenaga Nasional Bhd, berdasarkan tarif ditetapkan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestar (Seda).

Ketua Pegawai Eksekutif Green Earth Design Solution Sdn Bhd, Dr Nurul Muiz Murad berkata, teknologi tenaga solar telah meningkat dan kos pemasangan juga telah menurun. - BERNAMA

Berita Harian X