Jumaat, 2 Disember 2016 | 12:39pm

Kongres Kesatuan Melayu dicadang diadakan sekali lagi

WAKIL UMNO Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: UMNO Kelantan mencadangkan Kongres Kesatuan Melayu yang dianjurkan pada 1946, diadakan sekali lagi bagi menyuntik penyatuan Islam dan Melayu di negara ini.

Wakil Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata perhimpunan orang Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu berjaya mencantumkan semua pertubuhan Melayu, walaupun masing-masing ada aliran falsafah dan pendapat tersendiri.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang, berkata UMNO Kelantan mencadangkan kongres seperti itu diadakan demi survival bangsa Melayu.

"Isu penyatuan perlu diberi perhatian demi masa depan anak bangsa. Melalui kongres ini, kita boleh berbincang pelbagai isu kritikal membabitkan Islam dan Melayu.

"Ketika ini, kita bukan sahaja berdepan dengan musuh luar, tetapi juga musuh dari dalam negara ini, iaitu DAP yang begitu berani mencabar maruah Islam dan Melayu," katanya membahaskan ucapan dasar Presiden pada Persidangan Agung UMNO 2016, di sini, hari ini.

Berita Harian X