Jumaat, 2 Disember 2016 | 7:01pm

BNM arah 75 peratus hasil eksport ditukar kepada ringgit

BANGUNAN Bank Negara Malaysia di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
BANGUNAN Bank Negara Malaysia di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Bermula Isnin ini, pengeksport tempatan perlu menukar 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit dan hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.

Ia adalah antara langkah yang diumumkan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan kecairan pasaran tukaran asing.

Pengerusi FMC merangkap Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata langkah yang akan diambil itu bermatlamat meningkatkan permintaan ringgit di pasaran dalam negara atau 'onshore'.

Beliau berkata, langkah berkenaan akan menyokong lindung nilai ringgit berbanding mata wang lain, sekali gus memberikan keseimbangan lebih baik terhadap pasaran tukaran asing tempatan.

"Sebagai sebuah ekonomi yang sangat bergantung kepada perdagangan, kita amat memerlukan import dan eksport.

"Sebelum ini, hampir semua firma eksport akan mengekalkan 100 peratus hasil eksport dalam mata wang asing bagi membayar import dan pinjaman sehingga mewujudkan ketidakseimbangan tukaran asing terhadap ringgit," katanya pada taklimat media di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X