Sabtu, 3 Disember 2016 | 7:41am

Hamsik tekad lebur rekod jaringan Maradona


PEMAIN Napoli, Marek Hamsik melepasi pertahanan pemain Inter Milan, Geoffrey Kondogbia pada saingan Serie A di Stadium San Paolo, awal pagi tadi. - Foto EPA

MILAN: Pemain tengah Slovakia, Marek Hamsik bertekad meleburkan rekod jaringan 115 gol milik Diego Maradona bersama Napoli sejurus menyumbat gol ke-104 ketika Napoli menumpaskan Inter Milan 3-0, awal pagi tadi.

Inter berkunjung ke Naples bersama semangat baharu jurulatihnya, Stefano Pioli, yang sebelum ini terikat seri dengan musuh tetangga AC Milan sebelum menang besar 4-2 mengatasi Fiorentina.

Gol Napoli terhasil pada minit kedua menerusi sentuhan Piotr Zielinski yang menyudahkan hantaran leret Hamsik terus menemui sasaran di bucu gawang melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Samir Handanovic.

Empat minit berselang, Inter sekali lagi dikejutkan apabila Hamsik melepasi perangkap ofsaid untuk menyumbat gol kedua yang gagal ditangkap Handanovic.

Gol ke-104 pemain Slovakia itu meletakkan namanya sederet bersama bekas penyerang, Edinson Cavani tetapi ada peluang meleburkan rekod jaringan Maradona.

"Saya gembira, ia sesuatu yang positif untuk saya. Sekarang, ia mendorong saya mencapai ke senarai utama penjaring terbanyak kelab," katanya kepada Sport Mediaset.

"Kami memiliki permulaan yang baik hari ini, amat penting untuk mendapatkan keputusan dengan pantas malam ini.

"Tidak penting siapa yang menjaringkan gol di sini dan ia lebih menggembirakan kerana kami tidak dibolosi malam ini,'' katanya. - Agensi

Berita Harian X