Sabtu, 3 Disember 2016 | 1:03pm

Rohingya: MAPIM mahu heret Myanmar ke ICC

PRESIDEN MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid. - Foto Mohd Yusni Ariffin

IPOH: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sedang mengumpul bahan bukti kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya bagi mengheret negara berkenaan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam masa terdekat.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, usaha itu dilakukan bersama dengan rangkaian di peringkat antarabangsa termasuk Islamic Human Rights Commission (IHRC) di London untuk memfailkan kes Rohingya ke ICC.

"Kami sedang mengumpul bukti kes pembunuhan, pemerkosaan dan pembunuhan secara 'genocide' ini dan akan bekerjasama dengan rangkaian IHRC untuk memfailkan kes di ICC dalam masa terdekat.

"Testimoni pembunuhan itu sedang dikumpul dan bukti dibukukan serta sudah mendokumenkan siapa yang bertanggungjawab.

"Sekarang mereka (IHRC) sedang menunggu MAPIM menghantar laporan dengan kerjasama wakil Rohingya untuk memenuhi standard laporan," katanya pada sidang media sempena pelancaran Tabung Solidariti Rohingya dan program Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan kes itu di bawah jenayah ke atas kemanusiaan yang dilakukan tentera dan kerajaan Myanmar yang belum pernah dilakukan mana-mana pihak bagi kes Rohingya.

Katanya, MAPIM juga sudah sepakat dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa termasuk mendesak kumpulan negara seperti ASEAN, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) untuk memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar agar menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya juga sudah memberi kata dua kepada Myanmar dan dalam tempoh tujuh hari sebelum melancarkan boikot antarabangsa terhadap Myanmar sekiranya jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik itu tidak dihentikan.

"Apa saja aktiviti termasuk perdagangan dan acara dilakukan termasuk atas nama sukan dan sebagainya akan diboikot sekiranya ia tidak dihentikan.

"Ada empat hari lagi, jika masih belum reda, kita akan melancarkan boikot ini di Kuala Lumpur dan mendedahkan kepada dunia supaya sekatan ekonomi ke atas Myanmar dikenakan semula," katanya.

Berita Harian X