Sabtu, 3 Disember 2016 | 4:05pm

Komik, dokumentari Ola Bola papar realiti

KUALA LUMPUR: Mencatat kutipan RM15.8 juta ketika ditayangkan pada awal tahun ini, selain meraih empat kemenangan pada kemuncak Festival Filem Malaysia Ke- 28 (FFM28) lalu, kesinambungan kecemerlangan filem Ola Bola diteruskan dengan penerbitan dokumentari, Eksklusif Ola Bola dan komik prekuel, Ola Bola: Kemuncak Impian.

Dilancarkan sempena Pameran Buku Cina Dunia Ke-18 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC), petang tadi, komik terbitan Kadokawa Gempak Starz dan Astro Shaw membawa peminat mengimbau kisah penuh nostalgia menerusi paparan visual dan teks yang dihasilkan artis komik tempatan, Santa Fung.

Terharu menjadi sebahagian daripada sejarah penting Ola Bola, Santa mengakui, agak tertekan menerima cabaran itu kerana hanya mempunyai masa sebulan untuk menyiapkannya.

"Saya adalah antara penggemar Ola Bola, malah pernah dua kali menonton filem itu kerana meminati sukan bola sepak. Saya bertuah kerana pernah diberi peluang menghasilkan komik berteraskan sukan itu menerusi Pemain KIV. Pengalaman itu saya manfaatkan ketika menghasilkan komik terbaharu ini," katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah barisan pelakon Ola Bola seperti JC Chee, Saran Kumar dan Lim Jian Wen serta pengarahnya, Chiu Keng Guan. Komik prekeul Ola Bola diterbitkan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Cina berkisar mengenai pelbagai masalah yang dihadapi pasukan bola sepak Malaysia untuk menyertai Pesta Bola Merdeka pada tahun 1973.

Detik pertemuan di antara kapten pasukan negara, Chok Kwok Keong bersama penyerang, Samsul dan penjaga gol utama, Muthu turut diceritakan.

"Berbeza daripada komik bola sepak yang lain, Ola Bola memaparkan kisah realiti. Dengan keistimewaan ini, saya berharap masyarakat akan menyokong dengan mendapatkan naskhah komik ini di pasaran," katanya.

Edisi Eksklusif Ola Bola hanya diterbitkan sebanyak 500 set untuk setiap versi. Selain memuatkan DVD filem Ola Bola, pakej itu turut dilengkapi dokumentari sepanjang pembikinan filem itu menerusi Ola Bola Log Pemain Bola: Dokumentari Di Sebalik Tabir selain komik prekuel, Ola Bola: Kemuncak Impian.

Berita Harian X