Sabtu, 3 Disember 2016 | 8:17pm

Jenazah pendaki Malaysia tiba di tanah air Isnin ini

ALLAHYARHAM Syed Redzuan Syed Salim Shatri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin ini.

KUALA LUMPUR: Jenazah pendaki rakyat Malaysia, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, yang maut di Gunung Damavand, Iran, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin ini.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said, berkata jenazah akan diterbangkan dari Tehran ke Kuala Lumpur pada jam 10 malam esok.

Katanya, sebaik tiba, jenazah akan dibawa terus ke Masjid Bandar Tun Hussein Onn, di Cheras untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn.

"Jenazah Allahyarham (Syed Redzuan sudah selamat dimandi dan dikafankan, hari ini.

"Jenazah akan dibawa pulang esok dan dijangka tiba di KLIA pada tengah hari Isnin ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Jasad Syed Redzuan ditemui pada 28 November lalu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Yakhar Glacier di kawasan pergunungan bersalji itu.

Sementara itu, Rozaimi berkata, pasukan SAR mengulangi komitmen mereka untuk mencari seorang lagi pendaki, Ramli Abd Majid, 44, yang masih hilang.

"Buat masa ini, cuaca buruk masih menghalang mereka (pasukan SAR) untuk meneruskan misi. Mereka akan memantau keadaan cuaca dan misi akan disambung semula apabila cuaca semakin baik," katanya.

Syed Redzuan dan Ramli dilaporkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November lalu selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.

Berita Harian X