Sabtu, 3 Disember 2016 | 11:36pm

PDRM, Pahang ke final Piala Emas Raja-Raja

ALOR SETAR: PDRM dan Pahang menempah slot ke perlawanan akhir Piala Emas Raja Raja 2016 apabila kedua-dua pasukan mara dengan agregat 4-3 dan 2-1 menumpaskan Kedah dan Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua antara Kedah dan PDRM di Stadium Darul Aman, tuan rumah hanya mampu seri 1-1 selepas tewas 2-3 pada perlawanan pusingan pertama sebelum ini.

PDRM mara dengan agregat 4-3 untuk bertemu Pahang dalam aksi akhir yang dijadualkan di Stadium Darul Makmur pada 10 Disember ini.

Di Stadium Darul Aman, perlawanan bermula rancak di babak pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun berakhir tanpa sebarang jaringan sepanjang 45 minit pertama perlawanan.

Bermula babak kedua, Kedah menggandakan asakan dan meraih gol pertama pada minit ke-67, hasil jaringan Nabil Ahmad, yang menyempurnakan hantaran silang Irwan Syazmin dari bahagian kiri pintu gol PDRM.

Jaringan itu membolehkan Kedah menyamakan kedudukan secara agregat 3-3 selepas tewas 2-3 dalam perlawanan separuh akhir pertama sebelum ini.

Bagaimanapun, hajat tuan rumah untuk melangkah ke final berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan dipadamkan PDRM, yang menyamakan kedudukan 1-1 di penghujung babak kedua, hasil jaringan Haziq Fikri pada minit ke-90.

Satu lagi aksi separuh membabitkan Kuala Lumpur dan Pahang, berkesudahan dengan skuad Tok Gajah menang 2-0 untuk mara ke final.

Pahang bangkit untuk memadamkan kelebihan satu gol milik Kuala Lumpur pada pusingan separuh akhir pertama, yang menyaksikan skuad ibu kota menang 1-0.

Berita Harian X