X
Ahad, 4 Disember 2016 | 8:06am

Juruterbang alami serangan jantung ketika kemudi pesawat

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

EDINBURGH: Juruterbang syarikat penerbangan Belanda, KLM, mengalami serangan jantung ketika mengemudikan kapal terbang membawa 128 penumpang itu ke landasan di Lapangan Terbang Glasgow.

Kejadian berlaku ketika pesawat hampir berlepas ke Amsterdam pada Jumaat dan perlu disedarkan semula oleh kru dengan bantuan seorang penumpang.

Pasukan bomba lapangan terbang Glasgow membantu membawa juruterbang berketurunan Belanda itu keluar daripada pesawat untuk dibawa ke Hospital Golden Jubilee di Clydebank oleh anggota paramedik.

Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil. Pesawat berkenaan dijangka berlepas jam 5.00 petang waktu tempatan tetapi dibatalkan berikutan kecemasan itu.

Jurucakap KLM berkata: "Ketika memandu pesawat ke landasan, kapten sakit dan staf terpaksa merawat beliau dengan bantuan penumpang.

"Beliau dibawa ke hospital dan keadaannya stabil." - AGENSI

Berita Harian X