Ahad, 4 Disember 2016 | 10:16am

Denggi merebak lebih cepat ketika cuti sekolah

PUTRAJAYA: Sebanyak 94,998 kes denggi direkodkan tahun ini bagi tempoh antara Januari hingga Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu menunjukkan penurunan kira-kira 13.6 peratus berbanding 109,166 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan orang ramai secara meluas ketika cuti sekolah boleh menyebabkan jangkitan demam denggi cepat merebak jika nyamuk Aedes dikesan di persekitaran mereka.

"Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan melakukan aktiviti pencegahan seperti memastikan tiada bekas atau tempat berpotensi untuk pembiakan nyamuk aedes di kediaman masing-masing sebelum bercuti.

"Masukkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam takungan air kekal terutama apabila tidak menggunakannya lebih dari seminggu.

"Gunakan juga semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan bahan penghalau nyamuk (repelen) pada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk terutama pada waktu nyamuk aktif menggigit iaitu jam 5 pagi hingga 7 pagi dan jam 5 petang hingga 7 petang boleh mencegah denggi.

Berita Harian X