Ahad, 4 Disember 2016 | 2:17pm

Bantuan RM76,500 kepada mangsa ribut di Kangkar Tebrau

PEGAWAI Daerah Johor Bahru, Mohd Halim Hasbullah bergambar bersama penerima bantuan wang ihsan pada majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan di Sekolah Kebangssan Kangkar Tebrau, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Seramai 153 keluarga mangsa ribut di enam kampung di daerah ini menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM76,500 menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi meringankan beban akibat ribut yang memusnahkan kediaman penduduk.

Sumbangan disampaikan oleh wakil Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin iaitu Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Halim Hasbullah, membabitkan bantuan kepada mangsa di Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Bunga Ros, Kampung Seri Purnama, Kampung Ulu Pandan, Taman Bunga Ros dan Taman Delima, dekat sini.

Mohd Halim berkata, kerajaan negeri menghargai pembabitan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menguruskan permohonan bantuan wang ihsan RM500 kepada setiap ketua keluarga mangsa ribut 7 Jun lalu.

"Kerajaan negeri berharap bantuan diberi akan dimanfaatkan oleh penduduk yang terjejas bagi memulakan kehidupan, namun wang ihsan ini bukanlah ganti rugi atau pampasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan di Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pertahanan Awam Johor, Mat Zin Bujang.

Mohd Halim berkata, pihaknya menyerahkan RM123,500 wang ihsan kepada 247 keluarga di daerah Johor Bahru yang terjejas dalam bencana termasuk banjir, kebakaran dan ribut tahun ini.

Katanya, ia berbanding RM84,500 kepada 169 keluarga tahun lalu.

Sementara itu, penerima sumbangan, Ismail Abu Bakar, 86, bersyukur atas bantuan diterima.

"Sokongan pelbagai pihak dalam usaha menyediakan bantuan kepada mangsa bencana alam dapat meringankan beban ditanggung," katanya.

Berita Harian X