Ahad, 4 Disember 2016 | 2:31pm

Perjanjian konsesi tol masih dibincang


MENTERI Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih berunding untuk meneliti perjanjian konsesi tol dengan syarikat berkenaan bagi menyemak semula kenaikan kadar tol yang tidak seimbang.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata Perjanjian Konsesi Tol dengan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) masih mengikut perjanjian terdahulu yang dijangka tamat pada 31 Disember 2038.

"Kita belum dapat maklumat lengkap dan seboleh mungkin kerajaan tidak mahu menaikkan kadar tol," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengagihan Bantuan Persekolahan 'Jom Ke Sekolah' di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid dan Pengarah Urusan Pemegang Konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) - Ekovest Bhd, Datuk Seri Lim Keng Cheng.

Pada majlis berkenaan, seramai 1,000 pelajar dalam Parlimen Titiwangsa menerima bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan seluar sukan daripada penaja.

Siri kedua bantuan persekolahan bernilai RM250 itu diberikan kepada 4,000 pelajar sekolah di Parlimen Titiwangsa secara berperingkat.

171 dibaca
Berita Harian X