Ahad, 4 Disember 2016 | 3:55pm

6 ditahan, 8 motosikal disita

LAPAN motosikal disita dalam operasi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Enam orang ditahan termasuk tiga daripadanya mempunyai waran tangkap trafik yang masih aktif dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di sini, pagi tadi.

Semua yang ditangkap berusia antara 20-an hingga 30-an mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol dan Seksyen 53 APJ 1987 (waran tangkap trafik yang masih aktif) dalam operasi bermula jam 11.30 malam hingga 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata operasi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk dijalankan di Jalan Coastal, Jalan Lintas, Jalan Tuaran By Pass, Jalan Kepayan dan Jalan Sulaman.

"Dalam operasi itu, seramai 60 orang diperiksa manakala 55 kenderaan pelbagai jenis diperiksa.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak lapan motosikal disita manakala 80 saman atas pelbagai kesalahan trafik turut dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X