Ahad, 4 Disember 2016 | 4:12pm

Usaha Malaysia perangi rasuah diiktiraf


PENGARAH Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Samat Kasah. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC) mengiktiraf usaha Malaysia menambah baik sistem tadbir urus negara dengan melaksanakan beberapa langkah memerangi gejala rasuah.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Samat Kasah, berkata UNCAC mengesan usaha kerajaan memerangi amalan negatif itu berdasarkan dua langkah iaitu mewujudkan unit integriti dan Ikrar Integriti Korporat (CIP) dalam agensi kerajaan.

"Langkah penambahbaikan ini diterima kerajaan dan menjadi contoh UNCAC sebagai amalan terbaik yang boleh disebar luas kepada negara anggota lain.

"Ia menjadi ikutan negara anggota lain dan ini menunjukkan komitmen kerajaan memerangi rasuah," katanya pada sidang media selepas melancarkan program mesra rakyat 'Melaka Car Free Zone' sempena Hari Antirasuah Antarabangsa 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Kem Terendak Melaka, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Pengarah SPRM Melaka, Datuk Azmi Alias.

Walaupun Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di negara ini menerima skor 50 peratus dengan kedudukan ke-54 daripada 168 negara tahun lalu, Abdul Samat menyifatkan indeks itu berdasarkan persepsi dan bukannya kajian khas yang cenderung kepada rasuah.

"Persepsi ini boleh dipengaruhi pelbagai faktor antaranya kestabilan politik dan ekonomi, indeks kebersaingan dunia, kerenah birokrasi dan banyak lagi.

"Kita masih mendapat antara skor terbaik dalam aspek pencegahan rasuah namun ada beberapa perkara lain yang ditangani berada di luar bidang kuasa SPRM.

"Ini berdasarkan sembilan kajian dijalankan banyak institusi penarafan antarabangsa seperti Bank Dunia," katanya.

Berita Harian X