Isnin, 5 Disember 2016 | 7:37am

Mourinho anggap nasib United malang

REAKSI Jose Mourinho (kanan) ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Everton dan Manchester United di Goodison Park, awal pagi tadi. - Foto EPA

LONDON: Sekali lagi Jose Mourinho kecewa selepas menyaksikan Manchester United kendaliannya tercicir mata selepas menguasai perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton, awal pagi tadi.

United seri 1-1 di Everton dan kini berada di tangga keenam liga, tetapi bagi Mourinho skuadnya berhak menang awal pagi tadi namun dia tidak dapat mengubah nasib United.

United hampir membawa pulang tiga mata selepas mendahului 1-0 menerusi Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-42 dengan menyungkit bola selepas Maarten Stekelenburg meninggalkan gawang terlalu jauh.

Namun pada minit ke-89, pemain gantian tinggi lampai, Marouane Fellani mengasari Idrissa Gueye di dalam kotak penalti dan Leighton Baines menyempurnakan sepakan untuk gol penyamaan.

"Saya tidak nampak," kata Mourinho merujuk kepada kekasaran Fellaini.

PERTAHANAN Everton, Ramiro Funes Mori (kiri) cuba mengasak Zlatan Ibrahimovic (dua dari kiri) dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi. - Foto AFP

United seri enam daripada lapan perlawanan terakhir liga dan ketika ditanya tentang satu lagi perlawanan tanpa kemenangan, Mourinho berkata: "Ia satu lagi permainan dengan persembahan yang sangat baik. Kami tidak mendapat keputusan yang sewajarnya.

"Apabila anda bermain baik tidak ada apa lagi yang boleh anda lakukan."

Sebelum ini skuad-skuad Mourinho sering dikritik kerana menang tetapi tidak mempunyai gaya permainan menarik.

Kali ini bersama United, Mourinho sekali lagi dipersoalkan apabila bermain dengan gaya menarik tetapi tidak mendapat kemenangan.

"Anda (wartawan) perlu membuat keputusan. Apabila pasukan saya bermain bola sepak pragmatik dan memenangi perlawanan dan kejuaraan, anda kata ia tidak betul dan menarik.

"Apabila pasukan saya, seperti sekarang, bermain dengan sangat baik, anda kata apa yang penting ialah mendapatkan keputusan.

"Ketika ini dalam saingan Liga Perdana, pasukan-pasukan mendapat keputusan bagus dengan bertahan 11 orang dan menyerang balas untuk gol. Anda kata ia cantik. Buat keputusan sekarang," kata Mourinho. - Reuters

Berita Harian X