Isnin, 5 Disember 2016 | 12:45pm

UTM tubuh Dana Wakaf Pendidikan


ABD Mutalip (dua dari kanan) menyaksikan pelantikan UTM sebagai Nazir Khas yang diwakili Wahid (dua dari kiri) pada majlis Pelancaran Dana Wakaf Pendidikan UTM yang diadakan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengumumkan penubuhan Dana Wakaf Pendidikan UTM (DWP-UTM) sebagai usaha menjana pendapatan bagi menampung keperluan kewangan universiti.

Inisiatif berkenaan akan diuruskan UTM yang dilantik sebagai Nazir Khas oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), sekali gus merancakkan kemajuan pendidikan dan kepentingan ilmu sejagat.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata pihaknya meningkatkan usaha bagi mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk melaksanakan pengumpulan dana wakaf pendidikan dan pengagihannya kepada pelajar yang layak.

Walaupun Dana Wakaf Pendidikan UTM menggunakan konsep wakaf, katanya, pewakaf (Al Wakif) dan penerima wakaf (Al Mawquf) bukan terhad untuk individu dan organisasi milik orang Islam.

"Sebaliknya, ia terbuka kepada orang bukan Islam dan bertepatan dengan matlamat program penjanaan dana yang bertujuan menggembleng sumbangan masyarakat keseluruhannya bagi kemajuan.

"Kita mahu mengimarahkan ilmu di universiti dan manfaatnya bakal dinikmati semua tanpa mengira agama," katanya selepas memeterai memorandum perjanjian (MoA) antara UTM dengan MAINJ bagi pelaksanaan DWP-UTM yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd Mutalip Abd Rahim di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, dekat sini, hari ini.

Wahid berkata, dana wakaf itu turut bertujuan memberi bantuan biasiswa kepada pelajar berkelayakan seperti penyelidikan dalam pelbagai bidang keilmuan di UTM termasuk Fiqh Sains dan Teknologi, selain tawaran pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau ijazah doktor falsafah (PhD).

Sementara itu, Abd Mutalip berkata, UTM menjadi universiti awam (UA) pertama di Johor yang diberi kelulusan bagi memungut dana untuk mengisi tabung wakaf berdasarkan keperluan pendidikan.

Katanya, 10 peratus daripada kutipan akan digunakan untuk pengurusan wakaf, selain 10 peratus kepada MAINJ, manakala 50 peratus untuk dilaburkan bagi menjana pendapatan dan 30 peratus untuk kegunaan wakaf.

86 dibaca
Berita Harian X