Isnin, 5 Disember 2016 | 2:41pm
PENGARAH Urusan Kumpulan, Bina Darulaman Bhd, Datuk Izham Yusoff. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

BDB rancang bangun projek hartanah RM900j tahun depan

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Bina Darulaman Bhd (BDB), akan melancarkan beberapa projek hartanah terbaharunya di Kedah dan Perak pada tahun depan, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM900 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Izham Yusoff, berkata sebahagian besar daripada projek baharu berkenaan atau kira-kira 80 peratus adalah rumah mampu milik.

Beliau berkata, antara projek yang bakal dilancarkan termasuk taman tema air di Bandar Darulaman, pembangunan kediaman di Kuala Kangsar dan projek berskala kecil di Kedah.

"Projek pembinaan kediaman di Kuala Kangsar dianggarkan GDV RM30 juta adalah projek pertama kami di luar Kedah. Pembangunan taman tema air pula dijangka membabitkan GDV kira-kira RM15 juta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Izham berkata, syarikat akan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan berskala kecil bagi memenuhi permintaan perumahan daripada pembeli, terutama di kawasan yang jauh dari pusat perbandaran.

Selain itu, katanya, projek pembangunan berskala kecil mampu memberi pulangan lebih cepat kerana ia membabitkan saiz lebih kecil dan kos lebih rendah.

Beliau berkata, projek berskala kecil BDB akan dilaksanakan menerusi anak syarikat iaitu Kedah Holdings Sdn Bhd.

"Kami juga merancang melaksanakan dua lagi projek perbandaran di Kedah pada tahun depan. Ketika ini, syarikat mempunyai tiga projek perbandaran iaitu Bandar Darulaman di Jitra, Darulaman Perdana di Sungai Petani dan Darulaman Utama di Kuala Ketil.

"Pada masa sama, kami juga berusaha untuk meningkatkan simpanan tanah, dengan mempertimbangkan beberapa kawasan di Kedah dan bahagian utara semenanjung bagi tujuan itu," katanya.

Mengulas mengenai prestasi kewangan syarikat, Izham berkata, bagi suku ketiga tahun kewangan 2016, pendapatan BDB meningkat 99 peratus kepada RM87.2 juta daripada RM43.8 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh kewangan berakhir 30 September 2016 itu, katanya, keuntungan sebelum cukai syarikat meningkat 58 peratus kepada RM8.4 juta berbanding RM5.3 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Prestasi kewangan positif itu adalah hasil sumbangan tinggi daripada bahagian jalan raya dan kuari, yang merekodkan pendapatan lebih baik.

"Ia masing-masing hasil jualan projek perbandaran Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS) dan projek penyelenggaraan jalan raya negeri yang sedang dijalankan," katanya.

INFO:

* BDB adalah syarikat senaraian awam milik kerajaan Kedah yang ditubuhkan pada 1995

* Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memiliki 67.28 peratus ekuiti dalam BDB

* Aktiviti utama BDB antaranya pembangunan hartanah, pembinaan, kuari, perkhidmatan perundingan pengurusan harta dan pegangan pelaburan

* Pada masa ini, BDB memiliki simpanan tanah seluas kira-kira 809 hektar.

Berita Harian X