Isnin, 5 Disember 2016 | 4:15pm
Najib lancar Arena Larkin, Stadium Olahraga Mount Austin

Najib lancar Arena Larkin, Stadium Olahraga Mount Austin

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Arena Larkin dan Stadium Olahraga Seri Austin di sini.

Majlis pelancaran itu diadakan di kawasan meletak kereta Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Larkin, di sini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.   

Arena Larkin yang dibangunkan JCorp membabitkan keluasan 41.6 hektar itu merangkumi pembinaan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Kolam Renang MBJB serta Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin. 

Projek membabitkan peruntukan RM350 juta itu dijangka siap pada tahun 2020. 

Pembangunan prasarana sukan itu sebagai persediaan Johor yang menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2020. 

Stadium Tertutup MBJB boleh memuatkan 7,000 orang dalam satu masa dengan dilengkapi gelanggang badminton serta sepak takraw.  

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) dan Pengarah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Abd Razak Yusoff (dua dari kiri) melihat model stadium baharu yang akan dibina ketika hadir ke Majlis Pelancaran Arena Larkin dan Sport City Seri Austin di lapangan letak kereta Stadium Larkin, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin yang dikenali sebagai "Home of Southern Tigers" akan dinaiktaraf dengan beberapa penambahan seperti pemasangan papan skor digital, sistem lampu limpah serta penggantian tempat duduk baharu. 

Kerja naik taraf itu dijangka siap pada penghujung tahun 2017.  Selain itu, tumpuan turut diberikan terhadap penambahbaikan sistem aliran trafik sekitar Arena Larkin secara berperingkat, termasuk pembinaan sebuah boulevard sepanjang satu kilometer. 

Boulevard itu akan menghubungkan Terminal Bas Larkin Sentral, di sini ke Stadium Larkin. 

Sementara itu, Stadium Olahraga Mount Austin yang dibangunkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) mampu memuatkan kira-kira 5,000 orang dalam satu masa. 

Ia turut dilengkapi dengan kemudahan sukan lain seperti trek lumba, padang latihan, padang futsal dan pusat gim bertaraf dunia.

Berita Harian X