Isnin, 5 Disember 2016 | 4:21pm

Curi produk kecantikan, sorok dalam coli

BATU PAHAT: Taktik empat gadis cantik mencuri puluhan produk kecantikan di sebuah butik di Parit Raja di sini, dengan menyembunyikannya dalam coli dan beg tangan terbongkar selepas pemilik butik berkenaan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menjadi viral selepas pemilik butik itu memuat naik rakaman bertarikh 30 November lalu malam tadi dan meminta pengguna media sosial membantu mengesan tiga gadis itu.

Pemilik Butik Blackcube Rich, Nurul Atiqa Abu Rahim, 26, membuat laporan polis malam tadi selepas meneliti rakaman CCTV berkenaan dan mendapati gadis cantik berkenaan mencuri produk kecantikan butiknya.

"Kakitangan saya akan mengira stok barangan di butik setiap hari dan mereka terkejut apabila mendapati kehilangan produk kecantikan bernilai sehingga RM2,000 pada 30 November lalu.

"Pada hari kejadian saya bercuti dan hanya melihat rakaman CCTV itu kelmarin. Selepas meneliti semula rakaman, saya dapati empat gadis itu mencuri puluhan produk kecantikan dengan memasukkannya ke dalam coli serta beg tangan.

"Gadis yang memasukkan produk kecantikan ke dalam colinya sanggup berulang-alik ke kereta bagi mengeluarkan hasil curi sebelum kembali ke dalam butik dan mengulangi perbuatan itu.

"Mereka sangat licik kerana memperdayakan kakitangan butik apabila seorang daripadanya berpura-pura bertanya mengenai produk, manakala tiga lagi mencuri ketika kakitangan sibuk melayan pertanyaan," katanya ketika dihubungi BH.

Nurul Atiqa berkata, pihaknya mengesan beberapa suspek menerusi akaun Facebook mereka menerusi bantuan pengguna laman sosial sebelum menyalurkan maklumat kepada polis, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, mengesahkan kes berkenaan susulan laporan dibuat pemilik butik berkenaan, malam tadi.

"Keempat-empat suspek sudah dikenal pasti dan siasatan awal mendapati mereka bersaudara," katanya.

RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mencuri produk kecantikan di sebuah butik di Parit Raja, Batu Pahat, dengan menyembunyikannya dalam coli dan beg tangan.
Berita Harian X