Isnin, 5 Disember 2016 | 4:38pm

Sebulan untuk bunuh buaya betina


BUAYA betina sepanjang lima meter berjaya dibunuh dengan dua das tembakan menggunakan peluru jenis buksot di Sungai Bekenu, Miri. - Foto ihsan pembaca

MIRI: Penduduk Kampung Pejuang Kelulit mengambil masa sebulan memantau buaya betina di Sungai Bekenu yang mengancam keselamatan penduduk mereka sebelum menembak mati reptilia itu, malam kelmarin.

Buaya berkenaan dikesan muncul di permukaan sungai itu jam 9.30 malam sebelum ditembak menggunakan senapang patah oleh seorang penduduk kampung.

Ahli Jawatankuasa Penduduk Kampung Pejuang Kelulit, Murshid Kabul, 64, berkata dua das tembakan dilepaskan untuk membunuh buaya berkenaan.

"Lebih 30 penduduk terbabit dalam operasi mengesan reptilia itu sejak sebulan lalu. Hampir setiap malam penduduk berjaga sebelum melihat kelibatnya air malam kelmarin.

"Seorang penduduk melepaskan dua das tembakan dari tebing sungai.

"Bagaimanapun, seekor lagi buaya bersaiz sama dipercayai pasangan buaya itu belum dapat dikesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mereka terpaksa membunuh buaya berkenaan kerana ia kerap dilihat di sungai yang digunakan penduduk kampung untuk memancing dan menangkap lokan sebagai sumber rezeki.

Berita Harian X