Isnin, 5 Disember 2016 | 4:49pm
Najib lancar Arena Larkin, Stadium Olahraga Mount Austin

Bukti Johor capai status ekonomi besar - PM

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembinaan Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin yang berstatus antarabangsa membuktikan Johor sudah mencapai ekonomi berkuasa besar.

Perdana Menteri berkata, kemajuan pesat dicapai Johor membolehkan dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Johor Corporation (JCorp) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) mampu membangunkan kedua-dua kemudahan sukan itu.

"Biasanya saya hanya melancarkan satu projek atau stadium, tetapi hari ini melancarkan empat stadium yang akan dibangunkan di Johor bernilai hampir RM350 juta.

"Ini menunjukkan Johor sudah pesat membangun dan mencapai kuasa ekonomi besar.

"Jika sesebuah negeri tidak maju ekonominya dan tidak ada kuasa pembeli, tidak mungkin projek seperti ini dapat dilaksanakan," katanya berucap melancarkan Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di tempat letak kenderaan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Larkin di sini, hari ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat model stadium pada majlis pelancaran Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di tempat letak kenderaan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat model stadium pada majlis pelancaran Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di tempat letak kenderaan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Perdana Menteri berkata, rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan bangsa sentiasa ingin melihat pasukan negara berjaya di peringkat antarabangsa.

"Oleh yang demikian, pembinaan dua prasarana sukan ini dapat memberi sumbangan kepada kejayaan sukan tanah air secara keseluruhan.

"Pada masa sama, saya berharap kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Berita Harian X