Isnin, 5 Disember 2016 | 5:55pm

Ammar, Issey tak akan bubarkan Titan


ISSEY dan Ammar. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Biarpun masing-masing aktif mencari 'job' atau tawaran persembahan solo, Ammar dan Issey enggan membubarkan kumpulan duo mereka, Titan.

Mengaku beroleh rezeki atas jenama Titan, Ammar dan Issey menganggap tiada sebab untuk mereka meninggalkan kumpulan itu.

Ammar berkata, dia mendapat tawaran menjadi penyampai stesen radio Hot FM sejak Mac lalu selepas pendedahan yang diterimanya dalam Titan.

"Saya fikir tidak perlu dibubarkan kumpulan Titan. Saya suka dikenali sebagai Ammar Titan, sama juga dengan Issey.

"Titan menjadi simbolik perjalanan kami dalam dunia seni. Ini bererti susah senang kami bermula dengan Titan. Kami juga menyokong antara satu sama lain jika mendapat tawaran solo," katanya kepada BH Online.

Ammar ketika ini mengacarakan program realiti, 3 Juara bersama Issey dan Mira Filzah.

Kumpulan Titan digilap dalam program realiti, Bintang Mencari Bintang (BMB) terbitan TV3 pada tahun 2013.

Akui Ammar, kumpulan Titan tidak akan berkubur.

"Nama Titan akan tetap ada terutama dalam pementasan komedi," katanya.

Namun, kata Ammar, mereka perlu bersikap realistik umpama pepatah 'ukur baju di badan sendiri' ketika berdepan saingan kumpulan pelawak lain.

"Kita jangan bermain dalam kolam besar, nanti susah nak berenang. Jadi biarlah kolam kecil, kita masih boleh menguak badan dan tangan di dalam air," katanya penuh kiasan.

Berita Harian X