Isnin, 8 Disember 2014 | 5:37pm

Bajet 2015 tidak perlu dipinda

Pergantungan Kerajaan Persekutuan kepada hasil petroleum semakin berkurangan

KUALA LUMPUR: Penurunan harga minyak mentah dunia tidak memerlukan kerajaan meminda Bajet 2015 kerana ia tidak akan menjejaskan sasaran paras defisit sebanyak tiga peratus pada 2015, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong, berkata penurunan hasil minyak akan diimbangi dengan pengurangan ketara subsidi minyak melalui pelaksanaan sistem apungan terkawal bagi harga runcit RON95 dan diesel mulai 1 Disember lalu.

"Secara relatifnya, penurunan harga minyak mentah dunia pada masa ini tidak akan memberi kesan yang ketara ke atas anggaran hasil 2014. Hingga kini, purata harga minyak mentah Tapis dari Januari hingga 25 November adalah sebanyak AS$107 (RM372) setong," katanya menjawab pertanyaan Senator Mohd Khalid Ahmad yang ingin tahu sama ada Kerajaan Persekutuan akan membuat pindaan Bajet 2015 berikutan harga minyak mentah piawai Brent kini jatuh ke paras AS$82 setong.

Mohd Khalid juga ingin tahu mengenai peratus kebergantungan hasil Kerajaan Persekutuan kepada sumber minyak setiap tahun sejak 2010 hingga kini dan purata tahunan harga minyak mentah piawai Brent sejak 2010.

Jelas Chua, penyediaan anggaran hasil Kerajaan Persekutuan bukan berdasarkan unjuran purata harga minyak mentah piawai Brent, sebaliknya berdasarkan unjuran purata harga minyak piawai Tapis.

Oleh itu, anggaran hasil Kerajaan Persekutuan disemak 2014, yang berjumlah RM225,094 juta adalah berdasarkan unjuran harga minyak piawai Tapis sebanyak AS$110 setong. Anggaran hasil Kerajaan Persekutuan pada 2015 adalah berdasarkan unjuran purata harga minyak piawai Tapis sebanyak AS$105 setong.

Hasil berkaitan petroleum menyumbang 35.4 peratus atau RM56.5 bilion daripada jumlah hasil keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada 2010. Pada 2011, sebanyak 35.8 peratus atau RM66.4 bilion, pada 2012 sebanyak 33.7 peratus atau RM70.2 bilion dan pada 2013 menyumbang 31.2 peratus atau RM66.6 bilion.

Chua berkata sumber hasil itu dijangka terus menurun pada 2014 dan dianggarkan menyumbang sebanyak 29.7 peratus atau RM66.9 bilion daripada jumlah keseluruhan.

Trend itu menunjukkan kebergantungan kepada hasil berasaskan petroleum berkurangan.

Beliau juga memberitahu purata harga minyak mentah piawai Brent pada 2010 ialah AS$79.73 setong, AS$111.05 setong pada 2011, AS$111.94 setong pada 2012 dan AS$108.82 setong pada 2013.

Sementara purata harga bagi bulan Januari hingga Oktober tahun ini ialah pada AS$104.64 (RM364) setong. - BERNAMA

Berita Harian X