Selasa, 6 Disember 2016 | 1:51pm

Malaysia tunggu jawapan rasmi Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah merujuk Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung laporan media mengenai pengisytiharan pembatalan yuran baharu visa haji dan umrah bermula tahun ini, oleh pemerintah negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata selepas jawapan rasmi diperoleh, perkembangan itu akan dihebah kepada umum, bagi mengelak salah tanggapan.

"Sejauh mana kebenarannya, kita masih belum dapat kenyataan rasmi dari Arab Saudi. Kita menunggu keputusan sebab kita tidak mahu masyarakat yang mahu laksana ibadah umrah dan haji mendapat maklumat yang tidak pasti... kita tunggu kenyataan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tahunan tidak rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Malaysia, Brunei, Singapura serta Indonesia (MABIMS) Ke-17, di sini.


PEMERINTAH Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz.

Laporan media sebelum ini memetik Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz mengisytiharkan akan membatalkan yuran baharu visa haji dan umrah sebagaimana dinyatakan ahli Jawatankuasa Tertinggi Haji dan Umrah, Nasir Toruk.

Keputusan membatalkan caj yang baharu diperkenalkan itu dibuat susulan protes rakyat Mesir dan umat Islam di negara lain yang menyifatkannya sebagai mahal, lapor Alborsa News.

592 dibaca
Berita Harian X