Selasa, 6 Disember 2016 | 3:47pm

Fokus tiga sektor untuk kemajuan Iskandar Malaysia - TMJ

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tiga dari kanan) memerhatikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menurunkan tandatangan selepas melancarkan perasmian Bandar Sukan Pemotoran 'Fastrack City' hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) dan Pengarah FASTrack City Barry Kan (dua dari kiri).
- Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menggariskan tiga sektor utama perlu diberi perhatian bagi memastikan Iskandar Malaysia terus berkembang pesat.

Tunku Ismail berkata, tiga sektor itu ialah keselamatan, jalinan perhubungan dan juga kewujudan peluang pekerjaan.

"Seperti kita semua sedar, keselamatan adalah amat penting, lebih-lebih lagi persepsi mereka yang terbabit secara langsung dalam pembangunan Iskandar Malaysia.

"Yang kedua ialah jalinan hubungan antara Malaysia dan Singapura sama ada membabitkan rangkaian jalan raya, pengangkutan rel atau pengangkutan air seperti feri.

"Kewujudan peluang pekerjaan penting untuk meningkatkan lagi kemahiran, pada masa sama dapat mewujudkan lebih banyak pusat latihan," katanya ketika berucap pada pelancaran Logo dan Rekabentuk Fastrackcity di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tunku Ismail berkata, beliau percaya sekiranya sepenuh tenaga serta fokus diberikan terhadap tiga sektor itu, ia mampu memberi kejayaan kepada pelan pertumbuhan Iskandar Malaysia.

Berita Harian X