Rabu, 7 Disember 2016 | 4:22pm

Kompaun hanya untuk kesalahan memandu tanpa lesen, tamat tempoh

Risalah JPJ yang viral di media sosial yang mendakwa kompaun sehingga RM300 dikenakan kepada pemandu yang memperbaharui lesen memandu selepas tamat tempoh.

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya mengenakan kompaun kepada kesalahan memandu tanpa lesen dan yang sudah tamat tempoh, serta bukan bagi pembaharuan lesen memandu yang tamat tempoh.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang pembaharuan lesen memandu tamat tempoh boleh dilakukan di semua pejabat JPJ atau agensi yang dilantik tanpa dikenakan kompaun, dan ia hanya tertakluk bagi lesen memandu yang tamat tempoh tidak lebih tiga tahun.

Kenyataan dikeluarkan JPJ itu bagi mengulas mengenai risalah JPJ yang viral di media sosial mendakwa kompaun sehingga RM300 dikenakan kepada pemandu yang memperbaharui lesen memandu selepas tamat tempoh.

JPJ berkata, risalah berkenaan adalah kompaun bagi kesalahan memandu atau menunggang tanpa lesen atau lesen tamat tempoh yang tertakluk mengikut Seksyen 26(1) Akta JPJ 1987.

"JPJ ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sah.

"Jika terdapat sebarang kemusykilan, orang awam boleh merujuk terus kepada jabatan ini dan tidak turut serta menyebarkan salah faham berkenaan," katanya.

Berita Harian X