Rabu, 7 Disember 2016 | 5:47pm

Pukul warga emas dengan helmet, kelindan lori didenda RM2,000

MUHAMMED Rafi Md Taib didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku salah memukul seorang warga emas menggunakan helmet, pada September lalu. - Foto Nur Saliawati Salberi
MUHAMMED Rafi Md Taib didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku salah memukul seorang warga emas menggunakan helmet, pada September lalu. - Foto Nur Saliawati Salberi

AYER KEROH: Seorang kelindan lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah memukul seorang warga emas menggunakan helmet, pada September lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman terhadap Muhammed Rafi Md Taib, 41, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Chow Boo Peng, 63, dengan menggunakan helmet di Jalan Laksamana Cheng Ho, Melaka, kira-kira jam 4.30 petang, pada 7 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebat atau mana-mana daripada dua seksaan berkenaan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Nik Norhaizun Che Mat memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan alasan menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan empat bulan penjara jika gagal bayar.

Berita Harian X