Rabu, 7 Disember 2016 | 7:17pm

Pusat Servis Teknikal (STC) selenggara pesawat Sukhoi

PANGLIMA Tentera Udara Tan Sri Jeneral Roslan Saad menunjukkan tanda bagus ketika melawat bangunan Pusat Servis Teknikal selepas melancarkannya sempena lawatan kerja di Pangkalan Udara Gong Kedak hari ini. Pusat Servis Teknikal yang siap sepenuhnya, semalam merupakan tempat penyelenggaraan dan pembaikan pesawat Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia di pangkalan itu. - Foto BERNAMA

JERTIH: Pusat Servis Teknikal (STC) baharu di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, dekat sini, mampu menyelenggara kerja baik pulih pesawat pejuang Sukhoi.

Pusat itu yang mula dibina dengan kos RM74 juta pada Mac 2014, siap sepenuhnya semalam dan dirasmikan hari ini oleh Panglima TUDM, Tan Sri Roslan Saad.

Roslan berkata, STC bakal memberi ruang senggaraan barisan kedua yang komprehensif dan efektif kepada pesawat Sukhoi.

"Sebelum ini, semua kerja senggaraan pesawat dilaksanakan di hangar 11 skuadron di pangkalan Gong Kedak yang berkongsi dengan Aerospace Technology System Corporation (ATSC), sebuah syarikat penyenggaraan pesawat.

"Selain menempatkan ruang senggaraan pesawat, STC juga dilengkapi ruang pejabat dan ruang penyimpanan alat ganti," katanya ketika merasmikan pusat itu.

Beliau berkata, STC mempunyai kemampuan menyenggara pesawat Sukhoi dan dapat menjana industri pertahanan negara melalui pembabitan dalam penyelenggaraan pesawat TUDM.

Pada majlis itu, Roslan turut mengumumkan projek naik taraf kawalan trafik udara (ATC) Pangkalan TUDM Butterworth bagi menyelesaikan isu penurunan prestasi sedia ada.

Katanya, projek naik taraf berkenaan adalah lanjutan kejayaan industri pertahanan negara dalam menaiktaraf radar ATC di Pangkalan TUDM Gong Kedak yang diberi nama ASR Melor 087.

"Projek ini dijangka bermula Januari depan dan siap pada Disember 2017," katanya

Berita Harian X