Khamis, 8 Disember 2016 | 12:03am

Hukum merancang keluarga

gn4id:17811564

SOALAN: Saya mempunyai sepuluh anak, jadi doktor telah mengarahkan saya berhenti mengandung kerana risaukan kesihatan serta faktor umur yang mencecah 47 tahun. Bolehkah saya dan suami merancang keluarga menggunakan kaedah tertentu.

Jawapan: Hukum merancang keluarga terbahagi kepada tiga. Pertama, harus merancang keluarga jika ia dilakukan bagi memelihara kesihatan setelah mendapat nasihat daripada doktor pakar sakit puan. Perbuatan merancang keluarga ini telah lama diamalkan sahabat Nabi SAW menerusi kaedah 'azal.

Namun, merancang keluarga mestilah mendapat keizinan daripada pasangan masing-masing. Jika tidak, hukumnya boleh berubah daripada harus kepada haram kerana ia termasuk dikira menzalimi pasangan atau tidak taat kepada arahan suami.

Kedua, makruh berbuat demikian sekiranya ia hanya sekadar suka-suka di samping risau terhadap rezeki pasangan dan anak pada masa hadapan. Ketiga, haram merancang keluarga jika ia dilakukan hanya kerana takut miskin.

Niat sedemikian termasuk dalam larangan Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Isra', ayat 31, yang menegaskan bahawa Dia yang memberikan rezeki kepada setiap hamba-Nya dan perbuatan membunuh adalah jenayah besar.

Perbuatan itu juga boleh menjadi haram jika isteri tidak mendapat izin daripada suami dan begitulah sebaliknya. Oleh demikian, pasangan mestilah berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

* Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X