Khamis, 8 Disember 2016 | 8:00am

Malaysia tegas tangani isu Rohingya

BIARPUN banyak isu dibincang dan digulungkan dengan jelas dan terperinci oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, namun ucapan beliau dalam isu Rohingya terus mendapat perhatian perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 Sabtu lalu.

Dalam ucapan penggulungan itu, Najib mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

Kekejaman ke atas etnik Rohingya sudah cukup untuk kita semua membuka mata dan melakukan sesuatu. Bagi Najib tindakan Myanmar melampaui batasan dan inilah masanya nilai-nilai kemanusiaan perlu dipertahankan.

"Rantau ASEAN tidak boleh bertolak ansur terhadap perbuatan zalim, kita minta mereka ubah sikap mereka. Ini pendirian UMNO, apa nak jadi... jadilah, kita tetap dengan pendirian kita," tegas Najib yang begitu bersemangat mahukan isu ini segera diselesaikan.

Usaha Najib membangkitkan isu ini menunjukkan yang kerajaan begitu prihatin dengan masalah yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar.

Tamparan hebat

Kenyataan Najib juga sekurang-kurangnya memberi tamparan hebat kepada kerajaan Myanmar apabila rejim itu terus membuat kenyataan mengenai isu ini. Pejabat Presiden Myanmar mengingatkan Malaysia supaya jangan mencampuri urusan dalaman Myanmar. Ada juga sebilangan rakyat Myanmar menunjukkan protes mereka di kedutaan Malaysia di Myanmar.

Pastinya kenyataan rasmi pejabat Presiden Myanmar itu tidak akan menggugat langsung pendirian Najib bahawa Malaysia akan terus mengutuk kekejaman yang dilakukan dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi kemelut ini. Ini dibuktikan melalui Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Ahad lalu.


KERATAN muka depan akhbar BH, Isnin lalu.

Apa yang dikatakan oleh kerajaan Myanmar supaya jangan mencampuri urusan dalaman negara itu, sebenarnya alasan yang tidak boleh diterima. Ini disebabkan masalah ini akan merebak menjadi masalah pelarian dan pastinya negara jiran yang akan menerima akibatnya.

Dalam hal ini, Malaysia sendiri akan menghadapi masalah kebanjiran orang pelarian dari negara itu. Itu sebabnya Najib begitu tegas menggesa kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman ini. Selain isu kemanusiaan, Najib juga tidak mahu negara anggota ASEAN lain dibebani dengan masalah pendatang tanpa izin Rohingya di negara mereka.

56,000 pemegang kad UNHCR

Mengikut statistik pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, ada 56,000 masyarakat Rohingya dan warga Myanmar yang menjadi pemegang kad UNHCR. Walaupun Malaysia atas dasar kemanusiaan membenarkan pendatang asing tanpa izin yang memegang kad UNHCR tinggal sementara di negara ini sehingga dihantar pulang ke negara asal atau ke negara ketiga, namun masalah pelarian ini juga perlu diselesaikan bersama oleh masyarakat dan pertubuhan antarabangsa.

Dalam isu ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menjelaskan bahawa kepemimpinan kerajaan Myanmar akan dijemput menyertai satu persidangan antarabangsa hujung tahun ini bagi menangani masalah kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia.

Kita berharap usaha seperti ini dapat membantu mengatasi masalah yang semakin meruncing ini. Najib sudah jelaskan isu ini dengan lantang dan berani dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016. Perwakilan dan ahli UMNO juga sudah memberi respons positif.

Ketegasan Perdana Menteri ini juga pasti membuka mata negara anggota ASEAN dan pertubuhan antarabangsa. Malaysia tidak boleh bergerak sendirian dan itu sebabnya ASEAN perlu serta mesti bekerjasama menyelesaikan kemelut ini dengan segera melalui kaedah lebih komprehensif.

Penulis adalah Ahli Majlis Perundangan Melayu Malaysia

Berita Harian X