Selasa, 9 Disember 2014 | 9:16am

Agama: Tujuh harta wajib ditunaikan


Akhbar BH 8 Disember 2014

Segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Ini termasuk harta benda yang dipinjamkan kepada hamba-Nya. Hakikatnya, manusia diberi kurniaharta benda dan kekayaan sebagai rahmat dan amanah yang harus dipergunakan sebagaimana diperintahkan. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hadid ayat 7:

 "Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah), mereka tetap memperoleh pahala yang besar."

 Menurut Islam, harta adalah amanah Allah. Sebagai seorang Muslim, setiap amanah mesti diuruskan dan dibelanjakan dengan baik. Perspektif harta kepada seorang Muslim yang bijak adalah dengan memastikan seseorang itu mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat melalui hartanya.

Kepentingan cari rezeki halal

 Dalam perkongsian minggu lalu, Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menarik perhatian pendengar berkenaan "Mengenal Yang Haram Dalam Rumahtangga" dalam perspektif harta. Beliau mengingatkan pendengar mengenai kepentingan mencari rezeki halal agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu mengenai apa yang dibenarkan dan dilarang Islam dalam urusan mencari rezeki. Hasil daripada rezeki yang haram boleh mengakibatkan kerugian dan kesengsaraan pemilik dan ahli keluarganya itu di dunia dan akhirat.

 Kesinambungan kepada tajuk mencari yang halal, minggu ini Pesona D'Zahra meneruskan bicara dalam tajuk harta dengan pengisian kali ini bertajuk "Harta yang Wajib Ditunaikan".  Ustaz Muhamad memberi peringatan untuk kita sama-sama bermuhasabah mengenai soal membelanjakan harta yang dikurniakan kepada kita.

  Menjelaskan perkara itu, Ustaz Muhamad menyenaraikan tujuh harta wajib ditunaikan. Harta yang diwajibkan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan perlu ditunaikan haknya atau jika tidak, ia akan menyebabkan seseorang itu menyimpan harta yang haram. Sesungguhnya harta yang haram itu menyebabkan dosa dan membawa pemiliknya ke azab api neraka.

  Mendahului senarai berkenaan adalah zakat. Zakat adalah harta yang di dalamnya terdapat hak orang yang memerlukan. Zakat wajib ditunaikan terhadap mereka yang memiliki hak ke atasnya. Allah memerintahkan agar hamba-Nya membelanjakan sebahagian rezeki ke arah sedekah, infak, dan zakat, yang kesemuanya itu menggunakan harta.

 Justeru Allah mewajibkan manusia mencari nafkah yang berupa harta yang halal.  Bahkan Dialah yang memberi rezeki dalam setiap usaha yang dilakukan. Rezeki yang dikurniakan Allah juga adalah ujian dalam menentukan sifat syukur seseorang. Syukur itu dimanifestasikan dengan menunaikan perintah Allah antaranya dengan jalan zakat.

 Jangan berasa takut untuk mengeluarkan harta di jalan kebajikan kerana setiap jumlah dikeluarkan kerana mencari reda Allah, semuanya akan diganti baik di dunia dan dibalas berganda-ganda ganjarannya di akhirat.

 Bahkan jika direnung, belum pernah terdapat seseorang yang menjadi miskin dan bankrap disebabkan zakat.  Malah kebenarannya, harta yang ditunaikan zakat akan beroleh keberkatan dan memberi manfaat kepada pemiliknya dan orang lain yang turut sama menikmati perkongsian hak itu.

 Yang kedua adalah nazar. Nazar oleh seseorang yang membabitkan niat mengeluarkan harta atas sesuatu harapan. Sekiranya termakbul doa tertentu adalah wajib untuk ditunaikan menurut apa yang dijanjikan. Jika tidak, harta atau bahagian nazar yang disimpan akan menjadi haram.

Elak terima bahagian bukan hak

 Seterusnya adalah wasiat. Dalam keadaan berlakunya perjanjian harta yang dimeterai antara dua pihak sebagai wasiat, baik secara tertulis mahupun secara lisan adalah menjadi wajib untuk ditunaikan menurut syarak. Ahli keluarga perlu berhati-hati dalam menunaikan hak wasiat dan elakkan menerima bahagian yang bukan hak dan milik kita.

 Ingatlah, Allah akan memberi ganti ke atas mereka yang menjaga wasiat serta berhati-hati dalam perkara rezeki.

 Perkara keempat dalam senarai tajuk harta yang perlu ditunaikan adalah harta faraid. Sebaiknya, kiraan faraid mengikut hukum hendaklah dilaksanakan dahulu sebelum pembahagian mengikut perkiraan atau persetujuan sesama ahli keluarga dan semua yang terbabit  mestilah direlakan semua pihak.

 Bersikap jujur adalah sangat penting dalam menunaikan hak faraid kerana sekiranya kita mengambil hak orang lain ia akan menjadi dosa besar.

 Berikutnya adalah nafkah suami ke atas isteri. Suami yang beriman perlu melaksanakan hak nafkah ke atas mereka yang berada di bawah tanggungannya. Ustaz Muhammad menasihatkan suami agar jangan berkira atau kedekut dalam berbelanja ke atas isteri dan keluarga kerana ia wajib ditunaikan mengikut kemampuan dan keperluan ahli keluarga.

 Walaupun sekiranya isteri turut bekerja, tugas isteri hanyalah sekadar membantu. Suami tetap bertanggungjawab menanggung keperluan asas perbelanjaan rumahtangga. Gagal melaksanakannya akan menjadikan harta yang disimpan itu menjadi haram.

 Hutang adalah yang seterusnya dalam senarai harta yang wajib ditunaikan. Dalam Islam ada disebutkan berkaitan hutang, iaitu firman Allah yang bermaksud: "Jika yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya." (Surah al-Baqarah, ayat 283).

  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu. Namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

  Juga sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)." (Hadis riwayat Muslim).

Hidup tidak tenteram dibeban hutang

 Islam jelas menyatakan berhutang meninggalkan kesan negatif kepada manusia kerana hidup tidak tenteram apatah lagi beban hutang akan dibawa hingga ke akhirat jika tidak dilunaskan. Islam mengharuskan umatnya berhutang, tetapi setiap hutang perlu dibayar semula. Namun berhati-hatilah dalam mengelakkan berhutang untuk perkara yang tidak penting dan pastikan kita berusaha membayar setiap hutang diterima.

Yang terakhir adalah Kaffarah. Ia adalah denda. Contoh kaffarah adalah dam ketika di Makkah dan ia ditunaikan kepada fakir miskin saja. Bagi mereka yang melanggar nazar atau menarik balik nazar, mereka hendaklah membayar kaffarah (denda) nazar. Ia sama dengan kaffarah sumpah iaitu sama ada memberi makan sepuluh orang miskin atau memberi mereka pakaian atau memerdekakan seorang hamba.

 Sekiranya tidak mampu melakukan salah satu daripadanya, hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari sebagai ganti. Ini dijelaskan dalam ayat al-Quran: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat.

 Dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

 Apa yang disebutkan adalah tujuh harta yang wajib ditunaikan dalam kehidupan seorang Muslim. Berusaha untuk mematuhi perintah Allah dalam hal berkaitan menunaikan hak terhadap diri kita untuk berlaku jujur, dan terhadap orang lain untuk berlaku adil dan ikhlas.

Berita Harian X