Khamis, 8 Disember 2016 | 10:06am

Penafian pembatalan kadar baru visa Arab Saudi

PUTRAJAYA: Kementerian Luar hari ini mengesahkan bahawa laporan mengenai pembatalan kadar baru visa Arab Saudi yang tersebar di dalam media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah tidak benar.

Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi telah menyemak perkara ini dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Disember 2016 tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara berkenaan.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baru visa negara itu yang telah berkuatkuasa pada 1 Muharram 1437H iaitu bersamaan 2 Oktober lalu.

Berikutan itu, media serta orang ramai diminta agar tidak mudah percaya kepada maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi Kerajaan negara terbabit.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan lalu telah dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baru itu adalah - untuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (Riyal Arab Saudi). - BERNAMA

419 dibaca
Berita Harian X