Khamis, 8 Disember 2016 | 12:16pm

2 program iktiraf usahawan sosial - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan dua program penanda aras bagi mengiktiraf sektor keusahawanan sosial iaitu usahawan menggunakan platform online yang semakin berkembang di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata program itu ialah pensijilan keusahawanan sosial dan insentif pemerolehan sosial.

Katanya, semua program berkenaan akan menyediakan manfaat dan insentif serta penghormatan untuk usahawan sosial.

"Kedua-dua program ini juga adalah sebahagian daripada sasaran untuk mewujudkan 1,000 usahawan sosial menjelang 2018, seperti yang pernah saya nyatakan ketika melancarkan Pelan Induk Usahawan Sosial Kebangsaan pada Mei 2015.

"Program pensijilan ini akan memanfaatkan kira-kira 500,000 individu B40 menerusi kerja usahawan sosial ini.


NAJIB ketika menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2016 dan Komuniti Keusahawanan Global (GEC) di KLCC, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Pensijilan ini akan diperkenalkan oleh MaGIC bermula Jun tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sidang kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2016 dan Komuniti Keusahawanan Global (GEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.

Lebih 4,000 peserta terdiri daripada usahawan, inovator, pemimpin industri dan individu berpengaruh dalam ekosistem akan menyertai GEC.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan mengumumkan dua inisiatif strategik bagi memperkasakan sektor keusahawanan negara yang diletakkan di bawah pengurusan MaGIC.

Katanya, program itu iaitu Program Pemacu Global akan menyokong sembilan kluster di GEC dalam membina usahawan generasi akan datang dan Cabaran Impak ASEAN, bertujuan membimbing bakat global menyelesaikan masalah yang melanda komuniti ASEAN.

58 dibaca
Berita Harian X