Khamis, 8 Disember 2016 | 1:15pm

Rampasan ketamin terbesar 210kg

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan ketamin yang dirampas dalam dua serbuan di Bukit Jalil semalam dan kelmarin adalah yang terbesar tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata ketamin seberat 210 kilogram (kg) itu diseludup dari China untuk pasaran tempatan.

MOHD Mokhtar (kiri) menunjukkan sebahagian dadah dan barang makmal untuk memproses syabu bernilai RM15.5 juta pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MOHD Mokhtar (kiri) menunjukkan sebahagian dadah dan barang makmal untuk memproses syabu bernilai RM15.5 juta pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Hasil maklumat polis menyerbu dua apartmen di Bukit Jalil dan merampas pelbagai dadah bernilai RM15.5 juta termasuk membongkar sebuah makmal memproses syabu.

"Antara dadah yang dirampas, rampasan ketamin adalah terbesar tahun ini berbanding 162 kilogram pada tahun lalu," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, tiga lelaki tempatan berusia 30-an kini direman seminggu sehingga 14 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X