Khamis, 8 Disember 2016 | 5:19pm

Sekat pekerja Myanmar tidak beri impak besar ekonomi negara


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail NSTP/Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Tindakan Myanmar menyekat pekerjanya daripada datang ke Malaysia tidak memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana Malaysia tidak menjadikan negara itu sebagai sumber utama bekalan pekerja asing.

"Kita ada banyak sumber bekalan pekerja asing dari negara ASEAN lain selain Myanmar. Walaupun ia tidak memberi kesan besar, tidak bermakna kita akan berdiam diri.

"Malaysia mempunyai tanggungjawab sebagai negara jiran untuk menyatakan pendirian tegas mengenai kes pencabulan golongan minoriti di Myanmar atas prinsip kemanusiaan.

"Malah, kira-kira 55,000 pelarian Rohingya kini menjadi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UHNCR). Apa yang berlaku di sana (Myanmar) juga memberi kesan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Tamadun dan Warisan (TAWIS) 2016, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Turut hadir Pro Naib Canselor UKM, Prof Dr Nor Ghani Md Nor dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Prof Dr Wan Kamal Mujani.

Seminar itu yang bertemakan 'Tamadun Islam dan Kesejahteraan Global' disertai 250 peserta bagi membincangkan tamadun dan warisan Islam masa kini sama ada untuk dikekalkan atau dikembangkan.

14 dibaca
Berita Harian X