Jumaat, 9 Disember 2016 | 5:18pm

Dua minit larikan 21 dulang emas

KUALA LUMPUR: Empat penjenayah bersenjatakan tukul, parang dan pistol mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan 21 dulang emas dianggarkan bernilai RM1.5 juta dari sebuah kedai emas dalam Plaza OUG, di sini, tengah hari tadi.

Kejadian jam 12.53 tengah hari itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu dan premis berhampiran.

Difahamkan, kejadian samun itu adalah yang kedua berlaku ke atas premis terbabit selepas kali pertama pada tahun 2010.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata ketika kejadian terdapat dua pekerja wanita berada di bahagian pameran barang kemas, manakala dua lagi pekerja lelaki sedang makan di belakang kaunter.

"Siasatan awal mendapati, suspek memakai jaket berwarna hijau dan bertopi keledar bertutup penuh, masuk ke premis dan memecahkan cermin pameran barang kemas menggunakan tukul dan parang dengan salah seorang daripada mereka memegang satu objek dipercayai pistol, sebelum melarikan 21 dulang barang kemas.

ANGGOTA forensik menjalankan siasatan ke atas sebuah kedai emas selepas disamun empat penjenayah di Plaza OUG, tengah hari tadi.

"Semua suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta mewah jenis Mercedes berwarna hijau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sharul Othman berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan bertugas berada di hadapan sebuah premis lain kira-kira sembilan meter dari kedai emas terbabit.

Katanya, siasatan di lokasi menemui sembilan kesan darah dan dua serpihan kaca yang turut mempunyai kesan darah.

"Kita juga sudah mendapatkan rakaman CCTV dari kedai emas itu dan beberapa premis berhampiran. Semua bukti itu akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisis," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti suspek dengan kes dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Berita Harian X