Jumaat, 9 Disember 2016 | 5:20pm

Malaysia ikrar kurang intensiti pelepasan gas rumah hijau

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia berikrar untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada tahun 2030.

Usaha itu mampu dicapai menerusi manfaat teknologi hijau di darat, bagi sektor penerbangan termasuk maritim.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sektor pengangkutan menjadi tumpuan utama ke arah kelestarian alam sekitar pada persidangan Menteri-Menteri Pengangkutan sempena Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia Pasifik Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCAP) di Moscow, Russia pada minggu ini.

Berdasarkan perkembangan pesat sektor pengangkutan di negara ini, beliau berkata, Malaysia komited komited ke arah mencapai pertumbuhan secara mampan.

"Komitmen itu selaras dengan ikrar Malaysia untuk secara konsisten memberi sokongan terhadap pelaksanaan agenda UNESCAP tahun 2030 demi Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiong Lai berkata, seperti yang tertakluk di bawah Polisi Automotif Nasional 2014, Kerajaan tekad mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas berbahaya dengan menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Dalam sektor penerbangan pula, beliau berkata, usaha ke arah kelestarian alam sekitar seiring dengan ukuran pasaran global yang ditetapkan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Katanya, ia memberi fokus terhadap pengurangan pelepasan gas karbon dioksida kepada 40 peratus.

"Ke arah usaha itu, Malaysia terbabit sama dalam fasa percubaan ICAO mengenai usaha mengimbangkan karbon dan Skim Pengurangan Penerbangan Antarabangsa.

"Sektor maritim pula, Malaysia menekankan tiga aspek iaitu alam sekitar, pembabitan masyarakat dan kelestarian yang memberi fokus inisiatif seperti pengurusan air, kajian kualiti minyak kapal di pelabuhan," katanya.

Berita Harian X