Sabtu, 10 Disember 2016 | 12:55pm

Russia campur tangan pilihan raya presiden - CIA

GAMBAR fail bertarikh 28 September 2015, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berjabat tangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Foto AP
GAMBAR fail bertarikh 28 September 2015, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berjabat tangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Foto AP

WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) merumuskan Russia campur tangan dalam pilihan raya 2016 untuk membantu calon Republikan, Donald Trump ke Rumah Putih yang turut melemahkan keyakinan terhadap sistem pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Akhbar Washington Post melaporkan dengan memetik taklimat pegawai AS mengenai perkara itu berkata, CIA mengenal pasti beberapa individu berkaitan dengan kerajaan Russia yang menyerahkan ribuan emel yang digodam daripada Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik dan lain-lain, termasuk pengerusi kempen presiden Hillary Clinton kepada WikiLeaks.

Pegawai menggambarkan individu itu sebagai mereka yang dikenali komuniti perisikan yang menjadi sebahagian operasi meluas Russia untuk meningkatkan peluang Trump dan mengurangkan harapan Hillary memenangi pilihan raya.

"Ia adalah penilaian komuniti perisikan bahawa matlamat Russia adalah menyokong seorang calon mengatasi pencabarnya, membantu Trump terpilih," Washington Post memetik pegawai kanan Amerika sebagai berkata.

Ia melaporkan pegawai berkenaan diberi taklimat mengenai pembentangan perisikan yang dilakukan CIA kepada senator Amerika secara tertutup minggu lalu.

CIA, dalam apa yang dilaporkan akhbar itu adalah penilaian sulit, memetik bukti daripada pelbagai sumber.

Senator diberitahu 'semakin jelas' pemilihan Trump adalah matlamat Russia, akhbar itu memetik pegawai yang enggan dikenali sebagai berkata.

Sementara itu, Presiden Barack Obama mengarahkan pegawai perisik melakukan penilaian meluaskan mengenai serangan siber pada musim pilihan raya, termasuk emel yang menggoyahkan kempen dan meningkatkan kebimbangan mengenai campur tangan Russia pada pilihan raya bulan lalu, kata Rumah Putih.

Penilaian itu, diketuai agensi perisikan akan meneliti secara dalam mengenai peningkatan corak 'aktiviti siber jahat' ketika musim kempen, kata jurucakap Rumah Putih, Eric Schultz.

Ia akan meneliti taktik, sasaran, pihak utama dan reaksi kerajaan kepada pencerobohan emel, selain kejadian yang dilaporkan pada pilihan raya lalu.

Presiden mengarahkan laporan awal minggu ini dan meminta ia diselesaikan sebelum beliau berundur bulan depan.

"Presiden mahu ia dilakukan ketika pentadbirannya kerana beliau memandang serius perkara ini. Kami komited mahu memastikan integriti pilihan raya negara ini," kata Schultz. - REUTERS/AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X