Sabtu, 10 Disember 2016 | 1:20pm

Korban usia muda demi kerjaya - Ruhainies

Ruhainies dilantik sebagai duta produk cecair mengawal kantung mata, Ameena.

KUALA LUMPUR: Pelakon bertubuh kecil molek, Ruhainies atau nama lengkapnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, tidak kesal mengorbankan usia mudanya dengan memberi fokus kepada kerjaya hingga jarang mempunyai kesempatan untuk berehat panjang.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang sedang melunaskan baki penggambaran telefilem Cikgu Dina Pakai Prada di Perlis bergandingan dengan Redza Rosli itu, berkata jadualnya padat sehingga Jun tahun depan dengan pelbagai tawaran lakonan.

Selesai penggambaran telefilem itu, Ruhainies yang mencipta nama selepas membintangi drama rantaian, Hello, Mr Perfect! akan memenuhi empat tawaran lain termasuk drama Mr Delicious siaran Hypp TV dan Kelip-Kelip Di Kota London untuk TV3.

"Disebabkan terlalu sibuk, saya hanya mempunyai dua atau tiga hari rehat sebelum kembali ke lokasi penggambaran lain. Sesekali, untuk menenangkan minda, saya akan menginap di hotel untuk memanjakan diri. Saya tidak menyesal atau merungut terpaksa melalui kesibukan ini kerana ia adalah rezeki.

"Biarpun pernah terjerat dengan beberapa kontroversi, saya tetap diberi peluang untuk mengasah lagi bakat. Alhamdulillah, jadual saya padat sehingga Jun depan," katanya.

Kesibukannya itu juga memaksa Ruhainies untuk melupakan seketika keinginan untuk bercinta. Baginya, perkara itu bukan keutamaan malah Ruhainies juga belum bersedia membuka pintu hatinya untuk menerima kehadiran lelaki.

Turut bergiat aktif di laman sosial terutama di Instagram dan mempunyai pengikut yang sentiasa positif meniupkan kata semangat membuka pintu rezeki kepada Ruhainies apabila ditawarkan menjadi duta produk. Terbaharu, Ruhainies ditawarkan sebagai duta produk untuk merawat masalah kantung mata, Ameena.

"Tawaran ini diterima sejak Oktober lalu apabila mereka menghubungi saya menerusi Instagram. Mereka juga sanggup datang dari Ipoh untuk bertemu dan berbincang mengenai perlantikan itu.

"Selepas sebulan mencuba dan mendapatkan pandangan orang terdekat, selain melakukan sedikit penyelidikan, saya menerima tawaran yang diberikan. Produk ini juga mempunyai pengaruh tersendiri kerana sudah lapan bulan berada di pasaran secara talian," katanya.

Mengikat kontrak selama setahun bermula awal bulan ini, Ruhainies mengakui bayaran yang diterimanya agak lumayan namun bersesuaian dengan komitmen yang bakal diberikan.

Berita Harian X