Ahad, 11 Disember 2016 | 12:00am

Komoditi budaya tidak ikut acuan Barat

KERATAN akhbar BH.

PENEKANAN Bajet 2017 terhadap golongan pertengahan, bawahan dan luar bandar memperlihatkan keprihatinan kerajaan. Selain BRIM, subsidi, geran serta pelepasan cukai, ia menyaksikan pembangunan modal insan baik melalui peruntukan pendidikan dan latihan mahupun penyelidikan.

Perhatian itu menjadi fasa awal pembangunan modal insan. Pembangunan holistik dan menyeluruh fasa seterusnya perlu dilengkapkan dengan pembangunan sumber budaya yang bukan saja memperkasakan jati diri dan kapasiti intelektual masyarakat, bahkan boleh menjana industri pelancongan. Pembangunan sumber budaya ialah strategi serampang dua mata memberi faedah kepada aspek material dan bukan material.

Sumber budaya dalam era ekonomi global menyaksikan dunia dibentuk oleh pasaran ekonomi bebas, boleh menjadi komoditi sosial yang mempunyai nilai tidak tampak mahupun nilai tampak. Komoditi merujuk kepada barangan atau perkhidmatan bernilai ekonomi yang permintaan terhadapnya tidak mempunyai perbezaan kualitatif terhadap pasaran global.

Sumber budaya datang daripada amalan hidup berzaman sehingga menjadi rupa keperibadian bangsa dan amalan berterusan dalam membina corak serta nilai kehidupan.

Sumber budaya boleh datang dalam pelbagai medium seperti persembahan lakonan, tarian, nyanyian, makanan dan busana, permainan serta audio visual, tidak terkecuali seni tulis, iaitu pengucapan sastera. Sumber budaya ialah komoditi sosial tidak ternilai baik dari sudut pembangunan sahsiah mahupun menjana perolehan material yang menyuntik kreativiti dan inovasi, meningkatkan kapasiti intelektual masyarakat serta melahirkan masyarakat seimbang jasmani dan rohani.

Nilai tambah dalam industri pelancongan

Melihat dari sudut penjanaan pendapatan negara, sumber budaya dapat memberikan nilai tambah kepada industri pelancongan. Karya seni tampak sudah menjadi komoditi negara maju sejak ratusan tahun lagi. Mutakhir, karya seni termasuk sastera menambah komoditi kapital intelektual yang boleh menjadi sumber pendapatan baharu kerajaan hari ini.

Di negara maju, kapital intelektual sudah menjadi komoditi asas dalam memberi nilai tambah kepada industri tertentu yang menjana pendapatan besar kerajaan seperti industri buku, genre fiksyen, penterjemahan dan penjualan hak cipta. Hal ini belum lagi melihat kapital intelektual dalam konteks industri filem Hollywood dan Bollywood.

Pandangan klasik Theodor W Adorno menyatakan industri budaya meletakkan kedua-dua bentuk pengeluaran baharu dan berbeza komoditi budaya secara diakronik (menurut rangka waktu) dan mempromosi gaya hidup secara sinkronik, iaitu melihat keadaan semasa tanpa merujuk sejarah dalam gerabak sama - dalam memberikan suatu realiti sosial. Transformasi struktur asas kehidupan harian menyebabkan perubahan masyarakat dan melahirkan keperluan penghasilan komoditi baharu yang mempengaruhi gaya hidup baharu.

Industri budaya mula diperkatakan dengan gencar pada dekad 1950-an yang menghasilkan pemikiran dan wacana budaya yang melihat budaya bukan objek mati, sebaliknya subjek dinamik yang melahirkan dirinya sebagai komoditi baharu.

Peranan budaya muncul sebagai pembimbing gaya hidup yang dieksploitasi oleh kapitalisme untuk memprojeksikannya dalam skala besar dan mempengaruhi masyarakat domestik dan dunia untuk menjadi pengguna tekal.

Walaupun Adorno mengkritik komoditifikasi budaya, apa disuarakan itu menyedarkan industri untuk melihat budaya sebagai komoditi baharu yang menjadi keperluan masyarakat. Industri memupuk sumber budaya dan memberikannya nilai tambah dalam melakukan bentuk pengeluaran semula yang memenuhi keperluan pengguna dan pasaran.

Budaya dalam konteks komoditi pasaran bukan lagi bahan antik kaku dan hanya terpamer sebagai keagungan dan keindahan masa lampau, sebaliknya gaya hidup baharu muncul dalam amalan seharian baik dalam bentuk barangan keperluan mahupun bentuk keselesaan serta kemewahan seperti hiburan, gaya hidup dan apresiasi terhadap kesenian.

Lestari adab, ketamadunan

Malah dalam konteks budaya tinggi, komoditi budaya melestarikan adab dan ketamadunan. Budaya sebagai komoditi sosial ini ternyata bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran, bahkan mencorakkan cara fikir dan membangunkan kapasiti intelektual dalam membina peradaban dunia moden dan dunia selepas era kemodenan.

Fasa kedua pembangunan modal insan di negara ini perlu memberi ruang untuk melihat pembangunan sumber budaya sebagai komoditi sosial yang bukan sahaja dapat membangunkan kapasiti intelektual, bahkan menjana ekonomi negara.

Sudah tentunya pembangunan sumber budaya sebagai komoditi sosial tidak perlu mengikut acuan Barat. Malaysia mempunyai identiti budaya dan kekuatannya yang tersendiri untuk membangunkan industri budaya dalam acuannya sendiri.

Berita Harian X