Ahad, 11 Disember 2016 | 5:16pm

MAHA 2016 terima 3.7 juta pengunjung

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melambai kepada orang ramai ketika hadir pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - Foto Ghazali Kori

SERDANG: Seramai 3.7 juta pengunjung direkodkan pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di sini, yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata angka itu melepasi sasaran awal tiga juta seperti pada tahun 2014.

"MAHA kali ini mencatat sambutan luar biasa dan berdasarkan bilangan pengunjung yang masih bertali arus, kita yakin bilangannya akan terus meningkat beberapa jam sebelum MAHA 2016 melabuhkan tirai," katanya pada sidang media di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, nilai jualan pada MAHA 2016 juga memberangsangkan apabila RM380 juta dicatat dalam tempoh 11 hari pameran itu berlangsung.

"Kita dapat melihat anjakan paradigma dunia pertanian dan agro makanan apabila kira-kira 40 peratus belia terbabit pada MAHA 2016, melepasi sasaran 30 peratus.

"Pendekatan agrotainment seperti Kampung Mok Cun, Upin Ipin dan festival muzik memberi impak positif apabila dapat menarik golongan sasar baharu yang selama ini tidak tahu mengenai MAHA," katanya.

Berita Harian X