Ahad, 11 Disember 2016 | 5:54pm

Wanita curi barang kemas dirakam CCTV

AMPANG JAYA: Seorang jurujual sebuah kedai emas mendakwa terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000 kerana perlu membayar ganti rugi selepas seorang wanita melarikan dua rantai emas dari kedai emas itu di Dataran Palma di sini, Selasa lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Nor Azureen Sarudin, 26, mendakwa, ketika kejadian dia sedang melayan seorang wanita yang berpura-pura mahu membeli dua rantai emas termasuk seutas gelang tangan dan ketika dia sedang mengira harga, suspek menukarnya dengan rantai emas tiruan tanpa disedarinya.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, suspek yang berbaju merah jambu dan bertudung hitam kononnya mahu membeli rantai leher serta gelang tangan emas dan meminta mangsa mengambil dua barang kemas itu dari ruang pameran untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Mangsa kemudian menyerahkan dua barang kemas seberat 25 gram itu kepada suspek dan membuat kiraan sebelum suspek dipercayai menukarkan dua rantai emas itu dengan rantai palsu yang dibawa di dalam beg tangannya tanpa disedari mangsa.

Selepas menukar rantai emas dengan yang palsu, suspek memulangkan semula 'rantai palsu' berkenaan kepada mangsa sebelum beredar dengan alasan hendak mengambil kad kreditnya yang tertinggal di dalam kereta untuk membuat pembayaran.

Selepas menunggu hampir 30 minit, suspek tidak muncul kembali dan mangsa mengambil keputusan menyimpan semula barang kemas sebelum menyedari tag berat dan harga pada barang kemas itu tertanggal.

Curiga dengan keadaan itu, mangsa menimbang semula rantai dan gelang tangan itu dan mendapati beratnya tidak sama sebelum menyedari yang ia barang kemas palsu.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat satu laporan polis di Balai Polis Ampang di sini, selain memuat naik status serta gambar suspek, laporan polis dan rakaman CCTV ketika kejadian menerusi akaun Facebooknya, semalam.

Mangsa yang belum sampai sebulan bekerja di kedai emas terbabit mendakwa terpaksa membayar balik kerugian yang dialami majikannya susulan kejadian itu melalui potongan gaji.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi BH, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan berdasarkan rakaman CCTV di kedai emas berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

1764 dibaca
GAMBAR suspek dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) selepas disyaki melarikan dua rantai emas di sebuah kedai emas di Dataran Palma, Ampang, Selasa lalu.
Berita Harian X