Isnin, 12 Disember 2016 | 10:03am

4,000 militan Daesh cuba tawan semula Palmyra

GAMBAR video dari agensi berita Amaq Daesh menunjukkan militan Daesh menyerang Palmyra. - Foto REUTERS/TV

DAMSYIK: Lebih 4,000 militan Daesh yang dibantu kereta kebal memulakan serangan untuk merampas semula bandar raya purba Palmyra, menurut Pusat Perdamaian Russia di Syria.

Menurut tentera Russia, militan menerima bantuan mencukupi, termasuk kelengkapan berat tentera dari wilayah Raqqa dan Deir ez-Zor.

"Daesh menghantar pasukan mantap ke Palmyra dari wilayah Raqqa di mana militan yang dibantu Amerika dan pasukan antarabangsa menghentikan tindakan ketenteraan terhadap mereka minggu ini," menurut kenyataan tentera Russia.

Pusat perdamaian itu juga menyatakan tentera Syria terbabit dalam memerangi militan.

"Walaupun berhadapan kehilangan ramai anggota dan kelengkapan tentera, militan mahu menghampiri semampu yang boleh dan menawan bandar raya itu kerana Tentera Udara Russia tidak melancarkan serangan di kawasan penempatan di Palmyra," menurut kenyataan itu.

Palmyra dirampas Daesh pada 2015, tetapi Mac lalu ia berjaya ditawan semula tentera kerajaan dengan bantuan serangan udara Russia.

Tengah malam Sabtu, tentera Syria, dengan bantuan serangan udara Russia, berjaya melancarkan serangan ke atas Palmyra, membunuh sehingga 300 militan.

Pada Sabtu juga, militan dilaporkan memasuki beberapa daerah di Palmyra yang memaksa tentera kerajaan berundur dari beberapa kedudukan mereka.

Menurut aktivis yang mengendalikan rangkaian Penyelarasan Palmyra, militan berjaya menguasai wilayah di utara dan barat laut bandar raya itu.

Menurut Pusat Perdamaian Russia mereka mendapat bantuan militan yang datang dari Iraq.

"Terdahulu, perisik Russia mengesan pemindahan sehingga 5,000 militan Daesh ke kawasan di Raqqa dan Deir ez-Zor dari Mosul," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Daesh mendakwa sudah merampas bandar raya itu. - Agensi

Berita Harian X