Isnin, 12 Disember 2016 | 11:55am

Tuanku Abdul Halim berangkat pulang ke Alor Star

YANG di- Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Pemaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan melihat persembahan silat sempena istiadat Keberangkatan Pulang Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Kompleks Bunga Raya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
YANG di- Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Pemaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan melihat persembahan silat sempena istiadat Keberangkatan Pulang Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Kompleks Bunga Raya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, berlangsung dengan penuh adat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pagi ini.

Ketibaan baginda berdua kira-kira jam 10 pagi dari bangunan Parlimen disambut dengan perarakan 180 orang yang lengkap berpakaian pembesar Melayu, inang pengasuh dan hulubalang istana, sambil membawa peralatan tradisional seperti gendang, tombak, bunga emas dan replika pohon beringin, bermula dari persimpangan jalan hingga ke pintu masuk kompleks.

Keunikan istiadat di Kompleks Bunga Raya sempena tamat tempoh pemerintahan baginda selama lima tahun ini ditambah dengan kehadiran dua ekor gajah yang mengepalai perarakan berkenaan, menggambarkan zaman kegemilangan raja-raja Melayu dahulu kala.

Yang turut mengiringi keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat diteruskan dengan persembahan pencak silat pintu masuk, diikuti persembahan Lambaian Kasih 'Daulat Tuanku' di dataran Kompleks Bunga Raya.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kemudian berkenan bersalaman dengan tetamu kenamaan yang hadir, sebelum berangkat pulang menaiki pesawat khas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah, kira-kira jam 11 pagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X